Kronisme, nepotisme wujud dalam TPB2030, kata pakar ekonomi


  • Massa
  • Rabu, 08 Dis 2021

ISMAIL Sabri (tengah) bergambar bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Md Silmi Abdul Rahman (kanan) serta buku pelan TPB2030 ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran TPB2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Isnin. — Bernama

ENAM sasaran utama digariskan dalam Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) yang dilancar oleh Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin dianggap sama dengan dasar sebelum ini yang berunsur kronisme dan nepotisme, kata pakar ekonomi.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF), Profesor Madya Dr Baharom Abdul Hamid berkata, seringkali sikap Bumiputera dipersalahkan namun ianya agak tersasar kerana ramai golongan itu sebenarnya yang komited untuk majukan diri.

"Ramai Bumiputera yang sebenarnya komited dan ingin memajukan diri, namun tidak memperolehi peluang kerana kerana pelaksanaan dasar-dasar sebelum ini yang sedikit tercalar akibat kerenah kronisme dan nepotisme.

"Di dalam Dasar Ekonomi Baharu (DEB), pemilikan equiti Bumiputera yang disasar adalah 30 peratus, tapi kebanyakannya dimiliki oleh segolongan kecil yang sama, kenalan atau saudara mereka yang membuat polisi.

"Perkara ini menjelaskan lagi bahawa dasar yang dilaksankan adalah tidak menepati sasaran," jelas Baharom kepada Majoriti.

Baharom berkata, pelan pembangunan modal insan, re-skilling dan up-skilling, akses kepada pasaran dan bantuan pembiayaan adalah pelan yang sewajarnya kerajaan laksanakan untuk membantu sosioekonomi Bumiputera.

Dalam pada itu,Baharom berkata pelan yang dibentangkan dalam TPB2030, boleh dikatakan ampuh dan selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) iaitu berhasrat murni merapatkan jurang kekayaan diantara Bumiputera dan bukan Bumiputera.

"Perancangan yang baik ini harus diikuti oleh pelaksanaan yang jitu, dan lebih dari itu pemantauan dan pelaporan berkala penuh integriti dan telus," kata Baharom.

Terdahulu pada September 2020, WKB2030 adalah dasar teras dalam pembangunan negara untuk tempoh 10 tahun akan datang yang mana dilaksanakan di bawah pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Enam sasaran dibawah TPB2030 adalah pendapatan perusahaan Bumiputera, gaji upah pada kadar RM5,169.12; pendapatan isi rumah pada kadar RM18,402.68; kadar pulangan aset kewangan perkapita pada nilai RM4,495.65; jumlah pekerja mahir seramai 3,248,920 orang dan pemilikan kediaman sebanyak 4,758,469 unit.

Ismail Sabri berkata pada Isnin, semua sasaran itu akan dicapai menerusi tujuh aktiviti pertumbuhan ekonomi utama (Kega), iaitu pertanian dan komoditi, ekonomi digital, halal dan makanan, kewangan Islam 2.0, pengangkutan dan mobiliti lestari, pembuatan serta pelancongan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram