BAUR-BAUR nepotisme dan kronisme kembali menjadi bualan dalam kalangan pemerhati prestasi kerajaan sekarang susulan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini susulan tindakan mengejut Anwar melantik anaknya, Nurul Izzah selaku Penasihat Kanan Kewangan dan Ekonomi Perdana Menteri.
Ada yang menyifatkan tindakan itu sebagai sesuatu yang tidak perlu memandangkan akan berlaku konflik kepentingan walaupun jawatan itu tidak berbayar.
Lantikan khas sama ada dalam dunia politik mahupun kerajaan melibatkan ahli keluarga sendiri bukanlah sesuatu yang baharu dan sudah banyak berlaku sebelum ini.
Malah, Anwar antara individu yang sebelum ini pernah menegur perkara tersebut.
Berikut adalah tiga 'bapa' yang menggunakan kuasa dan pengaruh untuk membawa anak mereka mengikut jejak langkah dalam dunia politik dan sistem pentadbiran negara.
Datuk Seri Mukhriz dan Tun Dr Mahathir
Dr Mahathir antara pemimpin yang paling lama berada dalam dunia politik dan sistem pentadbiran negara.
Malah, anaknya, Mukhriz juga sedikit sebanyak turut menumpang pengaruhnya untuk membina kerjaya dalam dunia politik.
Mukhriz sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia dan Menteri Besar Kedah.
Datuk Seri Najib Razak dan anaknya, Nazifuddin
Najib mula menceburkan diri dalam arena politik setelah kematian mengejut bapanya, Abdul Razak pada 14 Januari 1976 dan menang tanpa bertanding di kerusi Parlimen Pekan.
Pengaruh bapanya antara yang membawanya naik dalam Umno hingga berjaya menjawat beberapa jawatan penting dalam negara termasuk sebagai Perdana Menteri.
Kini, anak Najib, Mohd Nazifuddin pula dilihat menggunakan pengaruh bapanya untuk mendaki tangga politik khususnya dalam Umno.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Nurulhidayah
Nama Ahmad Zahid selaku Presiden Umno masih lagi menjadi bualan selepas memecat dan menggantung beberapa pemimpin popular dalam partinya.
Namun, di sebalik kecaman yang diterima Timbalan Perdana Menteri ini, anaknya, Nurulhidayah sentiasa menjadi penyokong kuat beliau, malahan wanita itu juga nampaknya mendapat manfaat daripada pengaruh bapanya dalam dunia politik.
Berkuat kuasa 5 Disember lalu, Nurulhidayah dilantik semula menjadi pengerusi MQ Technology Bhd (MQ Tech), dan suaminya Saiful Nizam Mohd Yusoff sebagai presiden Jiankun International Bhd.
Orang ramai meluahkan kebimbangan apabila lantikan kedua-dua individu terbabit akan mencetuskan konflik kepentingan memandangkan mereka ialah anak dan menantu kepada pemimpin tinggi kerajaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram