BUDAYA kronisme dan nepotisme masih menjadi amalan beberapa parti politik di negara ini sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Amalan nepotisme merupakan perbuatan yang mementingkan atau melebihkan sanak-saudara dan kawan-kawan dalam sesuatu perkara.
Penganalisis politik, Azmi Hassan berkata, budaya ini jelas berlaku dalam beberapa parti politik tanah air.
"Kita dapat lihat perkara ini berlaku di dalam beberapa parti politik sehingga ia menimbulkan perdebatan pelbagai pihak dan memberi contoh yang tidak baik kepada orang ramai.
Azmi Hassan
"Amalan ini juga secara tidak langsung dilihat tidak adil dan bersifat songsang kerana hanya memilih ahli keluarga untuk meneruskan legasi mereka," katanya kepada Majoriti.
Berikut, Majoriti menyenaraikan beberapa parti yang dipercayai masih mengamalkan nepotisme:
Pakatan Harapan
Amalan nepotisme di dalam parti ini dapat dilihat dengan jelas dan tidak dapat diselindung selepas Pakatan Harapan (PH) mengesahkan pencalonan anak-beranak.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun sekali gus menyaksikan pertembungan dengan penyandang yang juga Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Sementara isteri Anwar, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak manakala anaknya, Nurul Izzah pula mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh.
Pejuang
Budaya sama juga dapat dilihat dalam parti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang menyaksikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi akan bertanding di Parlimen Langkawi.
Manakala anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku presiden parti akan bertanding di Parlimen Jerlun menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Othman Aziz serta wakil Perikatan Nasional (PN), Dr. Abd. Ghani Ahmad dan calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Mohamed Fadzil Mohd. Ali.
DAP
Parti DAP juga tidak ketinggalan dalam amalan nepotisme, sebelum ini kita dapat melihat pengasas parti tersebut iaitu Lim Kit Siang bersama-sama anaknya Lim Guan Eng bertanding pada PRU sebelum ini.
Bagaimanapun, veteran DAP tersebut mengumumkan untuk bersara daripada politik pada Mac lalu dan tidak akan menjadi calon pada PRU15.
Pada PRU kali ini, Guan Eng yang juga pengerusi parti DAP akan bertanding di Parlimen Bagan manakala adiknya, Senator Lim Hui Ying akan bertanding di kerusi Parlimen Tanjong.
Warisan
Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan mempertahankan kerusi Parlimen Semporna pada PRU15 pada 19 November ini.
Pada masa sama, Mohd Shafie turut menamakan adiknya, Datuk Mohd Yusof Apdal untuk bertanding di Parlimen Lahad Datu yang disandang bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamadin Ketapi.
Leong Cheok Keng (kiri) dan Leong Cheok Lung (kanan).
Parti Warisan turut mencalonkan adik-beradik untuk mewakili parti tersebut iaitu penyandang kerusi Malim Nawar, Leong Cheok Keng yang kekal bertanding di kerusi itu dan adiknya, Leong Cheok Lung di Parlimen Kampar.
Untuk rekod, tempoh kempen PRU15 selama 14 hari bermula secara rasmi sebaik selesai proses pencalonan hingga pukul 11.59 malam, 18 November nanti.
Hari pengundian PRU15 pada 19 November dan pengundian awal pula pada 15 November ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram