Johari tepis dakwaan anak dilantik pegawai khas di Parlimen


  • Primer
  • Khamis, 02 Feb 2023

Datuk Johari Abdul menafikan dakwaan pelantikan anaknya sebagai pegawai khasnya untuk membantu di Parlimen. — Awani

YANG di-Pertua Dewan Rakyat yang baharu dilantik, Datuk Johari Abdul menolak dakwaan beliau telah melantik anaknya sebagai pegawai khas untuk membantunya di Parlimen.

“Tiada isu. Anak saya tidak dilantik ke mana-mana jawatan buat masa ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, laporan beberapa portal dalam talian yang mendakwa beliau melantik anaknya Muhammad Iqbal sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas 1 kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat adalah tidak benar.

Ini berikutan dakwaan pelantikan Muhammad Iqbal tular di media sosial.

Pelantikan itu dikatakan dibuat sejurus selepas Johari dipilih sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada Disember tahun lalu dan susulan dakwaan nepotisme di bawah pentadbiran semasa.

Pada 19 Disember, Johari dipilih sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat selepas 147 Ahli Parlimen menyokongnya melalui undian apabila namanya dicadangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk jawatan itu.

Ahli politik kanan PKR itu, yang memenangi kerusi Parlimen Sungai Petani pada 2008, mengumumkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu bahawa beliau tidak berhasrat untuk mempertahankan kerusinya.

Kerusi kawasan Parlimen itu bagaimanapun dipertahankan oleh anaknya Dr Taufiq, seorang doktor perubatan bertauliah. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram