AHLI Parlimen Bentong, Young Syefura Othman meluahkan rasa kesal apabila tidak terlepas dengan gangguan seksual ketika sedang bersiaran langsung di laman Facebook.
Lebih terkilan, beliau ketika itu lengkap berpakaian sopan iaitu baju kurung serta baju hujan.
"Pakai macam ini pun kena komen lucah," tulisnya di laman Twitter peribadinya pada Selasa.
Difahamkan, komen berbaur lucah itu ditinggalkan oleh seorang lelaki ketika beliau melawat banjir lumpur yang melanda Kampung Bukit Tinggi di Bentong, Pahang pada Selasa.
Menurut Young Syefura atau lebih mesra dikenali sebagai Rara, beliau tidak menyangka ada individu yang mengeluarkan komen sedemikian ketika siaran langsung itu.
"Tak kisah akaun Facebook palsu atau menggunakan identiti orang lain, saya terkilan melihat komen tersebut.
Komen berbaur lucah yang ditinggalkan oleh seorang individu ketika siaran lansung Young Syefura ketika beliau melawat banjir lumpur yang melanda Kampung Bukit Tinggi di Bentong, Pahang pada Selasa. — Twitter/ Young Syefura Othman
"Saya ingatkan tidak akan ada lagi komen sebegini dalam sosial media. Selalunya perkara ini tidak berlaku dan saya agak terkejut kerana individu berkenaan dengan beraninya komen sedemikian.
"Saya tidak tahu apa niat dia, sama ada untuk bergurau atau serius. Individu seperti ini sepatutnya dikenakan tindakan keras supaya mereka tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan komen yang berbaur lucah," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya, meskipun perkara itu dilihat agak kecil, namun beliau tidak menolak kemungkinan lama-kelamaan akan ada pihak tertentu yang menganggapnya sebagai normal jika dibiarkan.
"Saya yang pakai baju kurung dan menggunakan jaket hujan pun orang boleh komen lucah seperti ini," katanya.
Pada masa sama, Rara turut berkongsi tangkap layar gambar komen berbaur lucah dan akaun Facebook milik individu tersebut.
Antara komen jijik yang dilontarkan suspek ialah seperti individu tersebut bernafsu melihat ahli Parlimen Bentong ketika berada di lokasi.
"Sedap betul tengok dia basah-basah time hujan.S**m terus aku. Ini kalau dapat dapat memang dari malam ke petang tak berhenti, " tulisnya.
Young Syefura turut menasihatkan orang awam agar tidak mencontohi perbuatan lelaki tersebut yang dianggap tidak senonoh dan merendahkan martabat kaum wanita.
Hasil pemerhatian Majoriti di Facebook, akaun individu berkenaan sudahpun dipadam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram