'Kerajaan tak ada hak melarang', rakyat desak pengeluaran KWSP Aidilfitri


  • Massa
  • Khamis, 02 Feb 2023

Orang ramai berharap pengeluaran KWSP ini dapat direalisasikan.

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka membenarkan pengeluaran simpanan antara RM10,000 hingga RM30,000 secara ‘one-off’ bagi meringankan kos sara hidup rakyat menjelang musim perayaan aidilfitri.

Sebelum ini, Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) serta Pertubuhan aktivis rakyat Malaysia (Prorakyat) menuntut agar duit simpanan KWSP boleh dikeluarkan.

Ia ekoran situasi ekonomi semasa yang tidak menentu yang mana pengeluaran KWSP ini dijangka dapat membantu banyak golongan untuk menyambut perayaan Aidilfitri.

Tetapi setakat ini berita mengenai pengeluaran simpanan antara RM10,000 hingga RM30,000 secara ‘one-off’ itu masih menjadi tanda tanya adakah ia benar ataupun sekadar khabar angin kerana belum ada sebarang kenyataan daripada kerajaan berhubung perkara itu.

Namun tinjauan Majoriti di sosial media mendapati, rata-rata rakyat berharap pengeluaran secara ‘one-off’ tersebut menjadi kenyataan kerana ia dijangka dapat membantu orang ramai ketika ini.

"Harap pengeluaran KWSP ini menjadi kenyataan, kerana banyak rakyat dah hilang punca pendapatan dan dibebani hutang sejak PKP," kata Nur Jalila.

"Kalau betul bagus, tapi jangan tipu rakyat sebab itu duit rakyat bukan kerajaan, pencaruman ada hak atas duit mereka.

"Kerajaan tak ada hak untuk melarang mereka keluarkan duit, fikirlah barang makin mahal dan perkara itu tidak menyenangkan rakyat malah menambah beban," ujar Nuraieyn Eiszzatye.

Selain itu, orang ramai turut dilihat mendoakan agar pengeluaran secara ‘one-off’ ini dapat dipercepatkan dan dipermudahkan urusan untuk membawa keluar duit KWSP.

"Semoga urusan KWSP dipercepatkan serta dipermudahkan urusan pengeluarannya nanti, harapan yang sangat telus," luah Anna Hasnana.

"Syukur Alhamdulilah, semoga cepat-cepat lulus banyak hal yang nak di selesaikan, dapat RM10,000 pun dah bersyukur janji KWSP bagi kelulusan," kata Mohd Farid.

Sebelum ini kerajaan pernah membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak dua kali semasa di bawah pemerintahan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengeluaran itu dibenarkan ekoran pandemik Covid-19 yang menjejaskan ekonomi negara, sekali gus menghimpit kewangan rakyat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram