'PM, benarkan pengeluaran KWSP sebelum sesi persekolahan 2023'


  • Massa
  • Ahad, 05 Feb 2023

Rakyat kian terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup dan mengharapkan kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP.

KERAJAAN perlu membenarkan pengeluaran segera wang Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) secara bersasar sebelum sesi persekolahan 2023 bermula, desak sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat (PGIRM), Azmi Mohd Tahir berkata, ramai pencarum yang mengharapkan simpanan berkenaan ekoran terkesan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

"(Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim, kami ingin menjelaskan selepas beberapa sesi soal jawab bersama pencarum yang tertekan dan terdesak, kami dapati hampir kesemua yang dimaksudkan bukanlah bergantung harap sepenuhnya pada wang KWSP, tetapi keadaan memaksa dan tiada pilihan lain.

"Pengeluaran secara bersasar adalah satu tuntutan pengeluaran kecemasan KWSP kepada pencarum yang sangat terkesan dengan kos sara hidup.

"Pencarum memerlukan wang simpanan titik peluh mereka dan kami berharap kerajaan dapat meluluskan (pengeluaran) dengan segera sebelum sesi persekolahan 2023 dibuka," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Sesi persekolahan bagi kalendar akademik 2023/2024, akan bermula pada 19 Mac 2023 bagi negeri Kumpulan A manakala 20 Mac bagi negeri Kumpulan B.

Dalam pada itu Azmi menjelaskan, pencarum tidak hanya bergantung kepada simpanan KWSP semata-mata, namun tiada pilihan lain kerana amat terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

"Satu demi satu harga barangan naik dan tidak dapat menampung kelangsungan hidup kerana pendapatan yang tidak seimbang dan pekerjaan tidak stabil.

Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran KWSP sebanyak dua kali susulan kekangan ekonomi akibat pandemik Covid-19. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram