Bukan semberono, pencarum KWSP menaruh harapan kebenaran pengeluaran bersasar mampu tangani isu hutang, kesempitan hidup


  • Massa
  • Selasa, 17 Jan 2023

Ramai yang mahukan pengeluaran KWSP dibenarkan terutamanya bagi mereka yang memerlukan.

WALAUPUN terdapat desakan daripada rakyat berkaitan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kerajaan nampaknya masih belum membuat keputusan sama ada mahu membenarkannya atau sebaliknya.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya mengenai perkara itu juga memaklumkan ia perlu dipertimbangkan apatah lagi melibatkan masa depan pencarum.

"Kalau kita tengok orang yang ada simpanan KWSP ini, duitnya sedikit sekali. Jadi saya perlu timbang di antara keperluan mendesak dan masa depan mereka," katanya pada Isnin.

Namun, reaksi tersebut mendapat respons pelbagai daripada warganet yang inginkan pengeluaran KWSP itu dibenarkan apatah lagi dengan situasi ekonomi mendesak kini.

Seorang warganet, Khair Ismi berkata, ramai begitu mengharapkan pengeluaran wang tersebut terutamanya bagi yang masih bergelut ekoran pandemik Covid-19.

"Banyak hutang masih tertunggak dan ada yang masih belum mendapat pekerjaan stabil. Sekurang-kurangnya pengeluaran itu dapatlah memberi kelegaan sedikit untuk menyelesaikan hutang dan sebagainya," katanya.

Seorang lagi warganet, Tengku Shah Tg pula berkata, wang tersebut boleh dikeluarkan tetapi KWSP perlu meletakkan syarat ketat.

"Berilah kebenaran kepada mereka yang masih ada baki simpanan KWSP banyak tetapi dalam masa sama sudah tidak bekerja atau pencarum menghampiri usia 55 tahun.

"Golongan ini cukup terkesan kerana mereka hilang pekerjaan dan sukar mendapatkan pekerjaan akibat faktor umur dan sebagainya.

"Kerajaan tidak boleh pukul rata semua pencarum untuk beri kebenaran. Sebab itulah kita mohon supaya kebenaran itu dibuat secara bersasar," katanya.

Perkara sama turut diluahkan Ahyau Kali tetapi dalam masa sama tidak menafikan kebenaran yang dikatakan oleh Perdana Menteri.

"Jawapan Perdana Menteri memang benar yang mana kebanyakan pencarum mempunyai simpanan kurang dari RM10,000. Tetapi kami minta golongan yang ada simpanan KWSP lebih dari RM50,000 untuk keluarkan RM10,000 ke RM30,000 sahaja," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram