PARAS simpanan ideal bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk bersara dengan selesa di bandar utama adalah RM600,000.
Anggaran itu dimaklumkan KWSP bagi membolehkan seseorang pencarum bujang menampung kehidupan untuk tempoh 20 tahun selepas bersara, iaitu kira-kira RM2,500 sebulan.
Namun, laporan KWSP menunjukkan kira-kira 97 peratus pencarum berusia 55 tahun dan ke bawah tidak mencapai sasaran itu di kawasan urban tersebut.
Mengulas mengenai perkara itu, Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, kadar simpanan pencarum KWSP bergantung kepada keadaan semasa ketika bersara kelak.
Pakar ekonomi itu berkata, sekiranya mereka mempunyai tanggungan kehidupan suami isteri dan seorang hingga dua anak, maka jumlah yang ada ketika itu mencukupi.
"Mungkin mereka ada dalam anggaran RM300,000 hingga RM400,000 sebab kita tahu mereka bersara dan mungkin anak sudah bekerja.
"Jadi, itu akan mengurangkan perbelanjaan dan anak yang bekerja akan membantu," katanya kepada Majoriti.
Abu Sofian
Bagaimanapun, katanya, wang simpanan bersara yang diperlukan di bandar besar dan bandar kecil adalah berbeza.
Ketika seseorang bersara, tambahnya, hutang rumah yang perlu dibayar sama ada tinggal sedikit atau sudah habis dibayar.
"Untuk tinggal di bandar besar memang memerlukan suatu komitmen yang tinggi dan perbelanjaan besar.
"Namun, tidak semua orang boleh simpan sehingga RM600,000 kecuali gaji mereka besar. Mereka yang rata-ratanya mempunyai gaji bawah RM5,000 pun perlukan masa yang panjang untuk simpan sehingga RM600,000," katanya.
Orang ramai disaran supaya tidak mengeluarkan baki simpanan KWSP ketika ini kecuali jika ada keperluan khas.
Terdahulu, Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein dilapor berkata, paras RM600,000 dilihat sebagai ideal untuk mereka yang tinggal di bandar utama seperti Kuala Lumpur bagi membiayai kehidupan selepas bersara.
Beliau berkata, bagi mereka yang tinggal di luar Lembah Klang seperti di Alor Setar, jumlah simpanan persaraan ideal ialah kira-kira RM500,000.
Dalam perkembangan sama, Abu Sofian menyarankan orang ramai supaya tidak mengeluarkan baki simpanan KWSP ketika ini kecuali jika ada keperluan khas, seperti mengurangkan wang pinjaman perumahan.
Beliau berkata, ahli KWSP juga disaran melakukan simpanan kewangan dan membeli insurans sebagai antara langkah berjaga-jaga ketika bersara kelak.
Seiring dengan perubahan masa, beliau berkata, nilai mata wang akan mengecil dan tidak akan sama seperti sekarang.
"Kita perlu lihat nilai wang pada masa hadapan. Kalau boleh duit KWSP jangan usik dan biar bertambah hingga hari persaraan supaya kita boleh menikmati kehidupan.
"Sekurang-kurangnya simpan 10 hingga 15 peratus daripada jumlah pendapatan bulanan kita ketika ini pada setiap bulan," cadangnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram