Kerajaan pimpinan Anwar perlu teliti 4 perkara, jika tak lagi benarkan ‘one-off’ KWSP


  • Massa
  • Selasa, 17 Jan 2023

Kerajaan perlu meneliti beberapa perkara jika tidak lagi membenarkan pengeluaran one-off KWSP.

ISU kebenaran untuk mengeluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih lagi menjadi bahan bualan dalam kalangan rakyat terutamanya bagi mereka yang memerlukan.

Namun, ada juga yang berpendapat bahawa pengeluaran KWSP tidak perlu dibenarkan atau jika perlu sekalipun, perlu ada syarat yang ketat untuk mereka memohon.

Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Datuk Dr Madeline Berma berkata, pengeluaran KWSP boleh dikeluarkan tetapi sebagai opsyen terakhir.

WhatsApp Image 2023-01-17 at 4.34.31 PM

Datuk Dr Madeline Berma.

"Pengeluaran KWSP one-off hanya dibenarkan sebagai opsyen terakhir. Kepada mereka yang betul-betul terdesak. Kerajaan perlu memikirkan langkah lain untuk membantu golongan yang betul memerlukan.

"Pengeluaran KWSP ini hanya penyelesaian jangka pendek kepada isi rumah. Ia akan meningkatkan risiko pada masa depan yang mana ramai golongan pesara akan jatuh miskin selepas bersara kerana caruman/tabungan tidak mencukupi," katanya kepada Majoriti.

Menurut Madeline, ramai yang menganggap KWSP sebagai duit bantuan, duit percuma atau dana kecemasan sedangkan wang itu sebenarnya adalah dana simpanan untuk persaraan.

Jelasnya, ada beberapa perkara yang boleh dilakukan kerajaan untuk membantu rakyat daripada membenarkan pengeluaran wang KWSP.

"Kerajaan perlu menambahkan nilai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dengan mengambil kira kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), kos sara hidup dan kadar inflasi.

"Kerajaan juga perlu meningkat keselamatan ekonomi rakyat menerusi empat komponen keselamatan ekonomi," katanya.

Jelasnya, pertama ialah menerusi keselamatan pendapatan iaitu perlaksanaan upah minimum dan jaminan keselamatan sosial.

Kedua katanya, adalah keselamatan pasaran buruh iaitu menerusi pengurangan kadar pengangguran serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

"Ketiga keselamatan pekerjaan iaitu melindungi pekerja daripada dibuang kerja dan melindungi hak pekerja.

"Terakhir ialah keselamatan kemahiran iaitu mewujudkan peluang untuk pekerja meningkatkan kemahiran menerusi akses yang muda kepada latihan, upsklilling dan reskilling," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram