SEBUAH taman perumahan kecoh seketika selepas seorang lelaki mengamuk dengan membawa sebilah pisau pemotong daging.
Menerusi video tular di media sosial, lelaki dipercayai kurang siuman itu dilihat menjerit dan mengacukan senjata tersebut ke arah orang awam menimbulkan kekhuatiran tentang keselamatan masing-masing.
Pada masa sama, dua anggota polis yang kelihatan di dalam video itu cuba memujuknya untuk bertenang, selain memintanya untuk meletakkan pisau tersebut di atas tanah.
Kedua-dua anggota polis itu turut membawa pistol sebagai langkah berjaga-jaga terhadap lelaki berbaju lengan panjang dan berseluar pendek berkenaan, yang sempat mencucuh rokok ketika menenangkan diri.
Kedudukan perakam video yang bertentangan dengan anggota polis turut menimbulkan kekhuatiran sekiranya terkena tembakan.
Berdasarkan maklumat awal, kejadian tersebut dipercayai berlaku di Taman Melati Paloh, Kluang, Johor pada Jumaat pagi.
Sementara itu, polis mengesahkan sudah menahan lelaki yang juga pesakit mental itu pada tengah hari Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, suspek berusia 40-an bagaimanapun berjaya ditenteramkan dalam kejadian kira-kira 1.40 tengah hari itu dan dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) untuk tindakan lanjut.
Katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang menerima aduan daripada orang awam mengenai kejadian dan mendapati lelaki warga tempatan itu dalam keadaan mengamuk dengan memegang sebilah pisau pemotong daging.
"Siasatan mendapati, suspek adalah pemegang kad pesakit mental dan tiada sebarang kejadian jenayah berlaku dalam kejadian ini. Tiada laporan polis dibuat terhadap lelaki berkenaan," katanya.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak bertindak di luar batasan dan perlu merujuk kepada pihak berwajib, sekiranya berdepan sebarang masalah yang berkaitan emosi serta mental. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram