'Kami berdoa agar adik dapat ditemukan', keluarga komando lemas tidak putus asa


  • Massa
  • Jumaat, 10 Feb 2023

Operasi SAR di sekitar Pulau Undan bagi mengesan anggota komando yang dikhuatiri lemas.

ABANG kepada anggota komando Lans Kopral Edrin Baintim yang dikhuatiri lemas ketika menjalani latihan menyelam di perairan Pulau Undan pada Rabu lepas, berharap usaha pencarian adiknya berhasil dan segera ditemukan dengan selamat.

Andy Baintim, 28, berkata, mereka sekeluarga amat mengharap agar adik bongsu daripada sepuluh beradik itu dapat ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari keempat pada Jumaat.

"Saya mendapat mesej mengenai berita kehilangannya pada petang kejadian dan rasa terkejut seakan tidak percaya lalu meminta tolong daripada sepupu yang juga bertugas di Kem Iskandar, Mersing untuk mengesahkan perkara itu.

"Ibu dan ayah sangat risaukan dia, namun kami sekeluarga masih tidak berputus asa dan terus berdoa agar adik kami dapat ditemukan dengan segera serta selamat," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Terdahulu, Andy dan keluarganya bertemu Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari yang melakukan tinjauan operasi SAR di Jeti Anjung Batu.

Mengulas lanjut, anak kesembilan dalam keluarga itu berkata, adiknya merupakan seorang anak yang baik dan amat mementingkan keluarga mereka yang tinggal di Kampung Tongod, Sabah.

Katanya, hubungan dia dan Endrin sangat rapat dan jika mempunyai masa lapang adiknya juga akan menghubungi mereka menerusi panggilan video yang kali terakhir ialah sebelum menjalani kursus selaman pada awal bulan lepas.

"Buat masa ini kami empat beradik ditempatkan sementara di Kem Sungai Udang bagi mengikuti perkembangan kes kehilangan adik manakala ibu bapa masih berada di kampung," katanya.

Pada 7 Februari lepas, dilaporkan mangsa yang juga anggota Tentera Darat dipercayai daripada Rejimen Gerak Khas (Komando), Lans Kopral Edrin Baintim, 25, dikhuatiri lemas ketika menjalani latihan menyelam di 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan.

Pangkalan hadapan CARILAMAT (PHC) telah ditubuhkan di Pulau Besar dengan penglibatan pelbagai agensi iaitu Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram