SEPANJANG pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilakukan pada 18 Mac 2020, nama pelakon jelita, Yana Samsudin antara yang kerap disebut.
Ini kerana tiada siapa sangka pemilik nama lengkap Norliana Samsudin, 39, berkebolehan bermain permainan video lagak seorang profesional. Dia sendiri kerap memuat naik video bermain permainan video di YouTube selain bersiaran langsung dalam talian.
Masakan tidak, pelakon filem Dua Kalimah itu berpengalaman bermain permainan video sejak berusia 9 tahun. Dengan kemahiran itu, dia tentu sahaja sudah memahami tentang selok belok permainan video.
"Saya bermain permainan video sejak dari darjah tiga. Ketika itu saya suka main permainan tembak-tembak.
"Pernah suatu masa ketika abah (nama pangilan kepada bapanya, Samsudin Jamuri) marah sebab 'kantoi' ponteng sekolah kerana main permainan video di rumah. Abah kemudian campak video permainan video ke dalam tong sampah.
"Biarpun dalam keadaan begitu, saya pergi ambil semula dan masih menggunakannya lagi dan teruskan permainan," katanya yang turut bergelar sebagai pemain video selebriti profesional.
Yana menubuhkan pasukan esports YSX Esport dengan tujuan untuk mencungkil bakat muda dalam aktiviti tersebut.
Yana turut berkongsikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan sehingga ke hari ini iaitu mengalami muntah-muntah selepas 18 jam bermain permainan video.
Katanya, waktu itu dia masih berusia 11 tahun dan tidak menyedari sudah terlalu lama bermain permainan tersebut.
"Ketika itu saya main Play Station 2 (PSP2), dan tanpa menyedari sudah terlalu lama bermain. Saya tidak sedar kerana ketika itu saya membuat mod permainan seperti seperti pemain sebenar.
"Waktu itu saya gemar bermain permainan berperang. Jadi saya terlalu fokus bermain sampai tidak menyedari masa berlalu dengan pantas," terangnya.
Sokongan ibu bapa
Yana pernah mengalami muntah-muntah disebabkan terlalu khusyuk bermain permainan video selama 18 jam.
Melihat kepada pengalaman yang dialami, Yana tidak menjadikan dirinya sebagai seorang ibu yang mengongkong anak. Bagaimanapun telahan itu nyata meleset kerana Yana jelas menggunakan pendekatan berbeza.
Bagi ibu dua anak itu, dia memberikan sokongan penuh kepada kedua-dua cahaya mata dalam mencari minat dan kecenderungan masing-masing.
"Sebenarnya sebagai ibu bapa, kita perlu kenal apa yang anak-anak minat. Kenal pasti bakat mereka dan cuba halakan mereka ke tempat yang dia berminat. Kalau boleh jangan marah, kerana nanti mereka akan buat secara senyap-senyap.
"Kalau anak betul-betul berbakat, rugi jika kita tidak mengenal bakat mereka daripada awal. Sekiranya mereka benar-benar berbakat, arahkan mereka ke tempat yang betul agar menyerlah. Siapa tahu suatu hari nanti mereka akan membawa tuah.
"Sekiranya anak itu memang tidak berbakat, cuba nasihatkan mereka dengan cara baik dan berikan pilihan lain. Jangan jemu untuk mengenal bakat terpendam mereka," jelas Yana.
Meskipun bapa agak kurang menyokong terhadap minatnya bermain permainan video kerana kurang memberi fokus pada pelajaran, namun itu bukan bermakna perkara sama turut dilakukan kepada semua aspek.
Yana memberitahu, bapanya sentiasa memberi sokongan dan galakkan terhadap apa yang diminatinya sama ada nyanyian, sukan mahupun sebarang aktiviti bermanfaat.
Tetap 'gamers' sejati
Yana yang juga isteri kepada Fadzil Zahari bersama dua anak mereka Aisy Mateen dan Aura Aisy Sofea.
Mengulas lanjut, status sebagai ibu tidak menghalang minatnya untuk bermain permainan video. Ketika berkelapangan, Yana tetap akan bermain permainan video.
Kesibukan aktiviti sebagai ibu dan kerjaya, tetap memberinya ruang untuk melakukan perkara yang memang sudah sebati dengan dirinya.
"Saya tidaklah terlalu bermain sahaja. Jika ada waktu saya akan bermain. Kalau ada kerja kena buat kerja. Lagipun saya mewujudkan pasukan esports, YSX Esport. Pasukan itu masih aktif dan kami tetap menganjurkan beberapa pertandingan.
"Selalunya apabila sudah sampai peringkat akhir itu, saya akan muncul. Saya juga menawarkan bernilai RM2,000 atau RM1,500 sebagai hadiah utama," tuturnya.
Untuk rekod, pasukan YSX Esport mendidik kanak-kanak seawal usia 9 tahun untuk terlibat dalam sukan digital itu. Itu juga menjadi kejayaan buat dirinya yang ingin mewujudkan lebih ramai generasi muda sebagai pelapis atlet sukan eSports. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram