SEORANG anggota tentera Indonesia menempuh detik menakutkan apabila payung terjunnya tersangkut di atas pokok ketika melakukan pendaratan, baru-baru ini.
Kejadian itu berpunca ekoran daripada angin kencang tetapi anggota tentera udara yang tidak didedahkan namanya itu tidak mengalami kecederaan.
Detik cemas itu sempat dirakam oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.
Memetik laporan media antarabangsa detiknews, anggota tentera udara berkenaan sepatutnya melakukan pendaratan di Bandara Pondok Cabe, Pamulang, Tangerang Selatan tetapi tersasar ke Ciganjur, Jakarta Selatan kerana angin kencang.
Menurut saksi kejadian, anggota tersebut kelihatan melayang di udara ekoran daripada tiupan angin kencang sebelum dia dilihat melakukan pendaratan berdekatan dengan kawasan rumah penduduk tempatan.
Ketua Polis Pesanggrahan Kompol Multazam Lisendra berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 11.01 pagi Khamis.
"Ketika kejadian, mangsa yang tersangkut di atas pokok diturunkan dari atas pokok dengan bantuan petugas kecemasan dan penduduk kampung," katanya.
Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Penerangan Angkatan Tentera Indonesia (Kadispenal) Laksamana Pertama (Marsma) Julius Widjojono berkata, anggota dari unit tentera Denjaka itu melakukan pendaratan cemas ketika menjalani latihan tempur.
"Anggota tersebut selamat dan sudah mendapatkan rawatan di hospital. Dia ketika kejadian sedang menjalani latihan ketenteraan," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram