Mahu tubuhkan skuad eSports? Ini 5 perkara asas yang anda perlu ketahui


  • eSports
  • Sabtu, 11 Feb 2023

Objektif penubuhan pasukan e-Sukan perlu menjadi keutamaan supaya tidak menjadi sia-sia. — Agensi

PERKEMBANGAN industri e-Sukan nampaknya membawa angin baharu kepada pencinta permainan video.

Ini kerana kebanyakan permainan video mula dipertandingkan dalam pelbagai kejohanan tempatan serta antarabangsa dengan hadiah mencecah ribuan ringgit.

Fakta menarik untuk penggemar permainan video ialah pertandingan yang dianjurkan termasuk dalam kategori sukan elektronik.

Jadi, anda tidak lagi akan dipersalahkan kerana hobi anda bermain permainan video, kerana aktiviti itu secara kompetitif diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai sukan.

e-Sukan ialah sukan yang menggunakan permainan kompetitif untuk dimainkan oleh profesional.

Artikel ini, akan berkongsi cara untuk menubuhkan pasukan e-Sukan yang profesional dan berdaya saing.

Team Liquid antara pasukan e-Sukan yang disegani di dunia permainan video. Agensi

Menurut Pengurus Pasukan e-Sukan, Aris Danial, berkongsi langkah pertama yang perlu dilakukan untuk menubuhkan pasukan e-Sukan sendiri secara profesional.

"Langkah pertama, individu tersebut mestilah memahami hala tuju sesuatu permainan e-Sukan tersebut bagi memastikan perancangan yang dibuat bersesuaian dengan apa yang ingin dicapai.

"Selepas organisasi itu memahami hala tuju yang ingin dicapai, pencarian pemain di dalam komuniti boleh dilakukan untuk mendapatkan skuad yang terbaik bagi mewakili sesuatu organisasi," katanya pada Majoriti.

Aris berkata, penting untuk merekrut pemain-pemain yang mempunyai pengalaman luas dan kekuatannya tersendiri.

"Antara ciri-ciri pemain yang menjadi pilihan sesebuah organisasi itu adalah, pemain itu haruslah mempunyai kekuatan tersendiri di dalam permainan e-Sukan yang diceburi.

"Selain itu, profesionalisme yang tinggi juga merupakan salah satu ciri yang dicari oleh sesebuah organisasi.

"Tambahan, jika pemain itu mempunyai pengalaman yang luas, maka ia menjadi sebab yang lebih kukuh untuk merekrut mereka," jelasnya.

Tournament

Pengasas kumpulan e-Sukan perlu memahami hala tuju sesuatu permainan. Agensi

Tambahnya lagi, kewangan memainkan peranan penting untuk sesebuah pasukan dan sentiasa kekal dengan prinsip untuk bertahan lama.

"Selain kewangan, semangat juang yang tinggi dan tidak cepat berputus asa adalah sifat yang perlu ada di dalam setiap pemain dan organisasi bagi memastikan sesebuah pasukan itu dapat terus bersaing di peringkat tertinggi dan mengharumkan nama negara," katanya.

Aris Danial menguruskan pasukan e-Sukan terbaik di Malaysia iaitu GBX Esports.

Aris turut menasihati sebelum menubuhkan pasukan e-Sukan, objektif sesebuah organisasi harus jelas supaya tidak menjadi sia-sia di masa akan datang.

"Objektif penubuhan perlu menjadi keutamaan dan jelas untuk memastikan penubuhan pasukan e-Sukan itu tidak menjadi sia-sia.

"Sentiasa memastikan kejohanan yang disertai hendaklah merupakan kejohanan rasmi dari pengeluar permainan e-Sukan tersebut.

"Ini kerana jika sesebuah pasukan itu tidak berpaksikan kejohanan rasmi, ia tidak akan memberikan kebaikan yang jelas kepada pemain serta komuniti e-Sukan untuk jangka masa yang panjang," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram