SEORANG lelaki warga Nepal nyaris dirempuh sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi apabila meluru ke tengah jalan secara tiba-tiba di Jalan Hulu Yam Bharu, Batu Caves, Selangor pada Jumaat.
Perbuatan itu dipercayai sengaja dilakukan oleh individu terbabit yang dipercayai mahu membunuh diri.
Ketika kejadian, pemuda warga asing itu nyaris dirempuh kereta yang memandu laju di laluan tersebut.
Tersentak dengan kehadiran individu terbabit, pemandu sempat menekan brek dan mengelak daripada berlaku sebarang kemalangan.
Dalam pada itu, perkongsian dimuat naik di laman Facebook itu turut memaparkan seorang penunggang motosikal sedang mengawal situasi tersebut.
Tiada kecederaan dilaporkan berlaku dalam insiden terbabit dengan pemuda Nepal itu telah dibawa ke laluan yang lebih selamat dan difahamkan beredar sebaik ditenangkan oleh penunggang berkenaan.
Bagaimanapun tidak dinyatakan punca sebenar warga asing itu mahu membunuh diri dengan cara sedemikian.
Seorang penunggang motosikal menenangkan lelaki warga Nepal terbabit. — Facebook
Dalam pada itu, isu berkenaan turut mengundang kerisauan warganet yang nyata fobia dengan kejadian sedemikian.
Terdahulu, kes serupa berlaku di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) pada Rabu apabila seorang pemuda lelaki hampir kemalangan kerana melintas secara meluru di laluan terbabit.
"Bahaya betul dia main terjah je jalan tak tengok kereta laju, kalau tak sempat tekan brek mesti dah tercampak lelaki itu," kata Umar Mukhtar.
"Banyak cubaan nak bunuh diri sekarang, ini mungkin antara taktik terbaharu selain terjun laut," ujar Mohd Zuhairi.
"Nak bunuh diri pun menyusahkan orang, kalau dah berlanggar bukan dia je susah orang yang melanggar pun turut terlibat sama," tambah Ansarudin Tahir.
Justeru, orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes tersebut dan dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya.. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram