GARA-GARA tidak berpuas hati dengan servis sebuah bank tempatan, seorang lelaki di Sibu, Sarawak bertindak membaling bom petrol (molotov cocktail) di pintu hadapan premis tersebut.
Melalui video tular dalam aplikasi Telegram dan Facebook Info Sibu itu memaparkan seorang lelaki berbaju dan seluar hitam datang dari arah utama jalan sebelum di membaling bom petrol tersebut ke arah pintu bank berkenaan.
Video berdurasi 38 saat itu dirakam kamera televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di salah sebuah premis berhampiran bank tersebut.
Sementara itu, jurucakap Balai Polis Sibu mengesahkan kejadian terbabit ketika dihubungi Majoriti.
Melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis, polis berjaya memberkas seorang lelaki tempatan dipercayai melakukan perbuatan khianat dengan api pada pintu hadapan sebuah bank di Jalan Kampung Nyabor, Sibu pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, lelaki berusia 36 tahun terbabit ditahan oleh pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sibu pada jam 10.56 malam Rabu.
"Siasatan di tempat kejadian oleh pihak polis menemui serpihan botol kaca serta kain yang dipercayai digunakan untuk melakukan perbuatan khianat,"
"Tindakan pantas sepasukan polis menjalankan siasatan menjurus kepada penangkapan suspek di sebuah rumah di sini lebih kurang satu jam kemudian,"katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya, semakan rekod polis mendapati suspek pernah ditahan atas kesalahan beberapa rekod jenayah lampau.
Katanya, permohonan reman dibuat bagi membantu siasatan kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram