Siap sedia bergelar 'wira tak didendang', ini 3 fakta menarik SMART


  • Massa
  • Rabu, 08 Feb 2023

Seramai 70 anggota SMART dihantar ke Selatan Turkiye pada Isnin bagi membantu SAR mangsa gempa bumi di sana.

SEPERTI yang kita ketahui, gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud melanda selatan Turkiye pada Isnin dan Malaysia menghantar 75 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) untuk membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa pada hari sama.

SMART yang merupakan satu pasukan penyelamat melibatkan tiga agensi penting di negara ini. Pasukan tersebut sentiasa bersiap siaga melunaskan tanggungjawab yang berkualiti, kompeten dan bertaraf dunia dalam operasi menyelamat khususnya situasi bencana.

Selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), SMART yang ditubuhkan pada tahun 1994 turut terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM).

1931578

Orang ramai membantu mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam runtuhan bangunan, selepas gempa bumi di Turkiye pada Isnin. — Agensi

Penubuhan pasukan penyelamat tersebut susulan daripada tragedi runtuhan pangsapuri Highland Towers, Ulu Kelang, Kuala Lumpur pada tahun 1993. Sehubungan itu, kerajaan berpendapat perlunya pasukan khas bagi menangani keadaan kritikal dan diklasifikasikan sebagai kemusnahan.

Pasa 1 Oktober 2015, SMART diletakkan di bawah bidang kuasa Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Malaysia dengan penambahan sebanyak 141 anggota.

Berikut adalah tiga fakta menarik mengenai SMART :

1. Kepakaran SMART

327775197_907443094023155_5406555270794733068_n

Untuk menyertai pasukan SMART seseorang anggota itu perlu menjalani latihan dan pemilihan khas yang dijalankan oleh agensi tersebut. — Facebook

SMART mempunyai lima kepakaran utama iaitu struktur bangunan runtuh, penyelamatan dari tempat tinggi yang menggunakan tali, ruang sempit, penyelamatan di kawasan air dan yang terakhir adalah penyelamatan di gunung atau hutan belantara.

Sehubungan itu, untuk menyertai pasukan SMART seseorang anggota itu perlu menjalani latihan dan pemilihan khas yang dijalankan oleh agensi tersebut.

Pada masa sama, mereka harus mempunyai kekuatan mental dan fizikal bagi mengharungi cabaran semasa dan selepas misi yang diberikan seperti bencana alam dan lain-lain.

2. NADMA gariskan empat fungsi SMART

320333919_720768169608995_6205865000718241488_n

Dron merupakan teknologi canggih yang digunakan anggota pasukan SMART. — Facebook

Memetik portal NADMA, SMART digariskan dengan empat fungsi utama iaitu bertindak untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di mana tugas tersebut adalah di luar kemampuan agensi penyelamat sedia ada.

Seterusnya, menghadiri operasi SAR yang rumit di mana ia memerlukan kepakaran yang tinggi serta peralatan canggih.

Dalam masa sama, SMART juga bertanggungjawab dalam tragedi bencana besar serta melibatkan ramai mangsa sama ada di dalam atau luar negara jika diperlukan.

3. Operasi di luar negara

320263110_621372583075205_8318535153696372987_n

Pasukan SMART turut memberikan bantuan ketika kejadian tragedi tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor hujung tahun lalu. — Facebook

Selain Turkiye, SMART sebelum ini pernah terlibat di beberapa bencana besar yang berlaku di negara lain. Antaranya ialah misi menyelamat mangsa tanah runtuh di Leyte, Filipina pada 2006.

Pasukan yang terdiri daripada 65 anggota itu tiba di kepulauan Leyte untuk membantu operasi SAR mangsa tanah runtuh yang terkambus di kawasan penduduk itu.

Selain itu anggota pasukan SMART juga pernah diterbangkan ke Indonesia untuk membantu memadamkan kebakaran hutan, membantu mangsa gempa bumi dan tsunami sejak ia ditubuhkan.

Antara negara lain yang penah mendapatkan bantuan SMART ialah India, Nepal dan Pakistan.

Selain membantu negara luar, SMART juga terlibat dalam pelbagai operasi di Malaysia seperti pada kejadian Ribut Greg di Sabah (1994), runtuhan Gunung Kinabalu, Sabah selepas satu gegaran gempa bumi (2015), runtuhan tanah di Pulau Pinang (2017) dan kejadian tragedi tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor hujung tahun lalu.

Jika dilihat pada operasi yang dilakukan oleh SMART ini, mereka boleh dianggap sebagai ‘unsung heroes’ berikutan peranan besar dimainkan dalam pelbagai operasi menyelamat nyawa di dalam dan luar negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram