AKSI pertama Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam siri perlawanan pramusim di Turkiye bermula langkah kiri apabila tunduk 1-2 kepada FC Nasaf pada Khamis.
Walaupun mendahului dengan jaringan pemain import, Willian Lira pada minit ke-58, namun Kedah gagal mempertahankan kedudukan itu apabila bolos dua kali pada 10 minit terakhir perlawanan.
FC Nasaf berjayaa menjinakkan Sang Kenari menerusi dua jaringan penyerangnya, Khusain Norchaev pada minit ke-80 dan 83.
Meskipun tewas, penyokong Kedah rata-rata berpuas hati dengan keputusan itu dengan corak permainan yang ditampilkan anak buah Nafuzi Zain.
Namun begitu, siri jelajah itu direncatkan dengan kemarahan penyokong setia pasukan tersebut yang nyata berang dengan kualiti siaran langsung dibawakan oleh unit media KDA FC.
Difahamkan, perlawanan itu akan ditayangkan secara langsung menerusi halaman Facebook TURKIYE TOUR: KDA FC vs NASAF FC dan penyokong perlu membayar sebanyak RM16.90 secara dalam talian.
Bagaimanapun, ada beberapa masalah diketengahkan peminat bola sepak yang telah membuat langganan khas bagi menyaksikan perlawanan menarik melibatkan pasukan kesayangan mereka itu.
Kualiti siaran langsung melalui pautan yang disediakan mengalami beberapa siri gangguan ketika perlawanan sedang berlangsung. — Facebook/KDAFC
Rata-rata penyokong Hijau Kuning mempersoalkan tentang kualiti siaran langsung tersebut yang mengecewakan serta beberapa siri gangguan dihadapi ketika perlawanan sedang berlangsung.
Manakan tidak, ada di antara penyokong yang tidak dapat menonton aksi pemanas badan berkenaan walaupun sudah membuat pembayaran.
Berang dengan perkhidmatan yang amat mengecewakan, beberapa pengguna meluahkan perasaan marah dan kecewa di ruangan komen Facebook rasmi Kedah Darul Aman FC.
Menurut Daus Ghzl, perkara ini bukanlah pertama kali berlaku dan setiap kali ada perlawanan secara yang disiarkan secara langsung pastinya ada masalah.
"Sudah dua game kena k****g dengan media KDA FC. Hat (pembayaran) lama sampai ke sudah tak refund. Naya (Kesian) pada peminat," katanya.
Skuad Sang Kenari dijadualkan untuk mengadakan empat aksi perlawanan persahabatan bermula 9 Februari ketika berada di Turkiye. — Facebook/KDAFC
Perkara itu turut dipersetujui oleh Azlan Lim yang kurang berpuas hati dengan pihak pengurusan media skuad Sang Kenari.
"Unit Media tak seiring dengan aspirasi pemilik kelab. Kesilapan dan kelemahan berulang," tulisnya.
Sementara itu Mohd Hamdi pula berkata, dia hanya sempat menyaksikan perlawanan tersebut hanya 30 minit sahaja.
"Aku beli dua minit sebelum perlawanan tetapi siaran tak sampai 30 minit dan selepas itu terus bermasalah. Apakah ini KDA FC?," soalnya.
Jnon Zainal Fitri pula berasakan pengurusan media KDA FC gagal memberikan apa yang peminat mahukan.
"Senang cakap live game hari ni memang GAGAL,"
"Bukan sebab tak boleh masuk live streaming tapi masalah media, siapa yang dapat tengok live fans ini akan faham," katanya
Seorang lagi penyokong, Mohamad Hazril Buhari merasakan pengurusan media skuad Sang Kenari sepatutnya membuat persediaan dan belajar terlebih dahulu dari pasukan lain.
"Orang nak buat live, kita pun nk buat live tetapi lansung tidak bersedia dan belajar dulu. Kalau rasa tak mampu nak bagi perkhidmatan berbayar dengan baik, lebih baik jangan buat," katanya.
Jika melihat pada situasi dan luahan daripada penyokong, keadaan ini seharusnya dipandang serius oleh pihak terbabit supaya perkara itu tidak lagi berulang.
Skuad Sang Kenari dijadualkan untuk mengadakan empat aksi perlawanan persahabatan bermula 9 Februari menentang FC Nasaf dari Uzbekistan, disusuli dua kelab dari Kazahstan iaitu Shakter Karaganda dan FK Maqtaraal pada 10 dan 12 Februari, serta FC Metalist Kharkiv dari Ukraine pada 14 Februari.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram