USAHA kerajaan negeri Sabah untuk memberi perlindungan serta latihan asas kemahiran hidup untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk tempatan.
Projek perintis itu dijangka bermula di Kota kinabalu terlebih dahulu dan sekiranya berjaya, ia akan ia akan diterima pakai di daerah lain seperti Tawau, Sandakan, dan Lahad Datu.
Walaupun ia dilihat sebagai usaha yang baik, namun, ada segelintir daripada penduduk tempatan tidak bersetuju dengan idea tersebut kerana ia dilihat akan menggalakkan lagi kedatangan warga asing di negeri tersebut.
Manakan tidak, penduduk tempatan kini sendiri sedang 'berperang' dengan isu kemiskinan dan ada antara mereka yang hidup merempat tanpa bantuan daripada pihak yang sepatutnya.
Perkara tersebut diluahkan oleh seorang seorang warga maya dikenali sebagai Suhaimi Magi melalui Facebook The Brotherhood of Sabah Sarawak baru-baru ini.
Menurutnya, program seperti itu perlu dibuat untuk anak-anak tempatan yang jurang berpendidikan di kampung-kampung terutamanya di kawasan pedalaman agak ketara.
Pendapat Suhaimi itu turut dipersetujui Abol Lian.
Katanya, tidak berbaloi untuk membantu anak warga asing sedangkan anak jati Sabah sendidi tercicir dalam pendidikan. Ibarat anak di pangkuan diletakkan, kera di hutan disusu.
"Tolong sedar, kami tidak minta banyak. Jangan pinggirkan anak tempatan kerana mereka ini bakal pemimpin negara nanti," tulisnya.
JeFree JoeHaññ PeTz pula berkata, sekiranya program itu dilaksanakan, ia akan mengundang lebih ramai lagi pendatang ke Sabah.
"Ini akan mengundang lebih ramai lagi datang ke Sabah jika mereka tahu Sabah menjaga kebajikan anak-anak mereka ini.
"Kerajaan Sabah kena pandang ke kiri juga. Jangan hanya pandang terus ke kanan. Kelebihan serta kebaikannya kepada pendatang tanpa izin dan keburukannya akan mengundang lebih ramai lagi yang akan datang (ke negeri ini)," katanya.
Sementara itu Neds Nedska pula berkata, kerajaan Sabah harus mengambil tindakan yang sewajarnya kepada kanak-kanak yang tak ada kewarganegaraan ini.
"Tegas dan bukannya menawarkan mereka keistimewaan. Satu hari nanti bila mereka ni sudah cukup latihan dalam bidang yang mereka diajar, bagaimana pula dengan warga tempatan?," soalnya
Difahamkan program tersebut merupakan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan pihak berkuasa tempatan.
Kedua-dua entiti ini turut bekerjasama dengan agensi berkaitan lain termasuk polis dan Majlis Keselamatan Negara bagi menangani isu kanak-kanak tanpa kerakyatan terutama mereka yang dilihat mengemis di sepanjang jalan dan berhampiran lampu isyarat di sekitar bandar raya berkenaan.
Kanak-kanak jalanan akan dihantar ke sana sehingga tiga bulan dan mereka akan menjalani program khas mengenai asas kemahiran hidup termasuk penjagaan diri, kehidupan bermasyarakat, dan pembelajaran rohani. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram