MUNGKIN kerana sudah muak menunggu lama, bekas pertahanan Sarawak United FC (SUFC), Stuart Wark mengambil tindakan drastik dengan 'menggegar' ruangan komen laman Facebook rasmi majikan lamanya itu.
Skuad Ngap Sayot yang pada awalnya seakan-akan memberi gambaran mengenai kehadiran pemain baharu tetapi dikejutkan dengan respons daripada bek tengah berusia 33 tahun itu pada Khamis.
"Gaji, mana gaji," tulisnya ringkas.
Pesanan ringkas daripada Stewart itu turut mendapat respons yang positif daripada penyokong dan menyokong tindakannya terhadap pihak pengurusan negeri Bumi Kenyalang itu.
Sebelum ini, Stuart juga pernah berkongsi kekecewaan melihat isu tunggakan gaji yang belum diselesaikan walaupun pihak pengurusan SUFC menabur janji palsu sejak Ogos tahun lalu.
Komen yang ditinggalkan Stuart di halaman Facebook Rasmi SUFC. — Facebook
Majoriti sebelum ini melaporkan Stewart pernah meluahkan rasa kecewa dengan sikap acuh tak acuh daripada pihak pengurusan yang tidak menjaga kebajikan pemain.
"Its not a good situation, kali terakhir kami berhubung dengan pihak SUFC pada bulan Disember lalu.
"Tapi rundingan itu hanya melalui orang tengah dan bukan pihak pengurusan yang sebenar dan dia sendiri tidak banyak membantu kerana mengalami nasib yang sama seperti kami, tidak dibayar gaji. Jawapan yang diberikan juga tidak memuaskan," katanya.
Sementara itu, bekas presiden SUFC, Datuk Posa Majais pernah mengeluarkan kenyataan kepada media yang pihaknya bakal menyelesaikan semua tunggakan gaji mereka menjelang Mac ini.
Stuart kini memilih untuk berkelana di bumi Thailand dan beraksi dalam saingan Liga Thai 2 bersama pasukan Kesetsart FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram