SEBAGAI persediaan menghadapi Liga Super musim baharu, beberapa pasukan ketika ini sibuk menjalani latihan pra-musim. Sri Pahang FC juga tidak terkecuali apabila memilih Thailand untuk sebagai destinasi menjalani latihan buat pemainnya.
Walaupun ada segelintir penyokong menganggap latihan di luar negara itu membazir, namun ia sebenarnya memberi kelebihan pada kelab itu sendiri.
Ini kerana pemain dapat menimba pengalaman baharu dan melakukan latihan dengan kemudahan yang lengkap.
Manakan tidak, pemain pasukan Sri Pahang FC dapat mengadakan sesi pra-musim yang cukup penting dalam memastikan tahap kecergasan skuad sedia ada berada di tahap terbaik.
Pada masa sama, anak-anak buah skuad kendalian Fandi Ahmad itu berpeluang untuk menggunakan pusat latihan canggih di Asia Tenggara iaitu di pusat latihan BG Pathum sepanjang tempoh pra-musim tersebut.
Difahamkan pusat latihan kepunyaan BG Sports Company Limited mempunyai pelbagai kemudahan dan deretan peralatan terkini, sekali gus dapat memberikan latihan terbaik kepada pemain-pemain Tok Gajah.
Pemain Tok Gajah berpeluang menggunakan pusat latihan canggih di Asia Tenggara milik BG Pathum, Thailand. — Facebook
Selain itu, ia turut dilengkapi peralatan kecergasan dan perubatan berteknologi tinggi. Keadaan padangnya juga jauh berbeza yang mana stadiumnya diperakui kelas A oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC).
Selain menjalani latihan di sana, skuad Tok Gajah turut menganjurkan perlawanan bersama kelab Thailand dan Korea Selatan bagi membantu barisan kejurulatihan mengenal pasti kemampuan setiap pemain.
Sehubungan itu, rata- rata penyokong berharap pasukan kesayangan mereka itu bukan sahaja pulang dengan pengalaman tetapi juga mempelajari sesuatu daripada kelab BG Pathum yang mempunyai kemudahan latihan lengkap.
Penyokong mengharapkan pihak pengurusan dapat memperbaiki fasiliti latihan pasukan agar pemain dapat memantapkan lagi kecergasan mereka.
Bagi mereka, kekurangan fasiliti pasukan Liga Super itu membuatkan pemain tidak dapat menjalankan sesi latihan dengan fasiliti serta kemudahan terbaik.
Seorang penyokong, Zelf Zesh mengharapkan pasukan kesayangannya itu mengadakan latihan di negara Gajah Putih itu bukan sahaja memantapkan pasukan tetapi melihat kemudahan fasuliti di sana.
"Bukan setakat memperkemaskan pasukan di sana tetapi tengok juga kemudahan fasiliti untuk bina disini. Step by step," katanya.
Fan Bola turut bersetuju dengan pendapatnya itu dan meminta pihak pengurusan menyediakan pusat latihan untuk pemain.
"Mohon Sri Pahang sediakan training center yang selesa untuk pemain. Dah ke Thailand, intai-intai fasiliti di sana," tulisnya.
Ketika ini, skuad Tok Gajah menjalankan sesi latihan mereka di Padang Sri Gelam, Pahang yang dilihat kekurangan beberapa kemudahan seperti bilik persalinan.
Mereka pernah bercita-cita untuk membangunkan pusat tersendiri, namun masih tiada pengumuman daripada pihak pengurusan akan perkembangannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram