PENGUNJUNG pusat beli belah terkemuka The Mines di Seri Kembangan, Serdang, Selangor pada Ahad berdepan detik cemas selepas sebuah kedai kasut yang terletak di tingkat satu bangunan itu terbakar.
Walaupun tiada kemalangan jiwa berlaku namun ada insiden di mana orang awam dipercayai pekerja pusat beli belah itu terlepas hos pemadam api sehingga menyebabkan ia berpusing beberapa kali hingga hangat diperkatakan di media sosial ketika ini.
Kejadian itu berjaya dirakam oleh seorang wanita dan dimuat naik semula melalui halaman Facebook MSH Bundle.
Video berdurasi 26 saat itu memaparkan kedua-dua lelaki berkenaan kelihatan kelam-kabut ketika cuba memadamkan api di premis berkenaan. Melihat kepada situasi berkenaan, seorang wanita yang merakam insiden itu kedengaran tidak berpuas hati dengan cara pekerja terbabit mengendalikan situasi itu seakan-akan tidak mempunyai pengalaman berdepan keadaan cemas tersebut.
Turut kedengaran wanita itu mengkritik tindakan pekerja pusat beli belah
"Rakam, rakam. Eh..eh..depa (mereka) tak pernah ke? Pegang dekat belakang hos itu.
"Yang dua orang dekat belakang itu buat apa? Tengok saja?
"Memang kena depa ini, tak berlatih," katanya kedengaran suaranya dalam rakaman video tersebut.
Walaupun tindakan wanita tersebut mempertikaikan tindakan dua itu ada kebenaran kerana pengendalian hos yang dilakukan oleh pekerja berkenaan adalah salah dan boleh mendatangkan bahaya.
Datuk Norazam Khamis
Perkara itu diperjelaskan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis yang berkata, cara pengendalian hos pemadam berkenaan tidak dilakukan dengan betul.
"Sepatutnya nozel dipasang dahulu di hadapan atau di hujung hos. Apabila dipasang, nozel hendaklah dipegang dengan hos dikepitkan di bawah ketiak. Jika bersedia, barulah dibuka air secara perlahan-lahan untuk mengelak kejutan tekanan air. Tekanan air hendaklah dilepaskan mengikut kadar kemanpuan pemegang nozel.
"Latihan berkala hendaklah dilakukan bagi memahirkan kendalian hos yang bertekanan. Jika tiada kemahiran dan latihan adalah dinasihatkan supaya tidak menggunakannya kerana boleh terlepas dari pegangan dan menyebabkan kecederaan apabila hos dan nozel bertekanan tersebut melibas seperti video tular itu," katanya berkaitan kejadian kebakaran melibatkan kedai kasut di aras satu The Mines ketika dihubungi Majoriti.
Beliau turut mempelawa orang awam yang berminat untuk mengetahui dan menjalani latihan memadam api untuk menghubungi JBPM.
Katanya, pihak bomba akan membuka sesi untuk orang awam mempelajari cara pengendalian hos yang betul. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram