[VIDEO] Ayam goreng berulat, lagi kes kedai mamak meloyakan


  • Tular
  • Isnin, 16 Jan 2023

Tangkap layar menunjukkan menunjukkan sepotong ayam dalam mee goreng dipesan pelanggan dikerumuni ulat.

PADA minggu lalu, sebuah restoran mamak di Klang, Selangor didakwa gagal mengekalkan tahap kebersihan makanan apabila dilihat menyediakan bahan masakan di atas jalan tar di belakang kedai.

Tindakan pekerja dipercayai tukang masak yang menggaul adunan ayam di situ mengundang rasa jijik warganet apabila menggunakan bekas masakan kotor selain menyediakan makanan di kawasan yang tidak sesuai.

Terbaharu, kedai mamak sekali lagi menjadi bualan masyarakat selepas satu video tular memaparkan seorang lelaki sedang menikmati makanan terkejut terjumpa ulat dalam juadahnya.

Insiden menggelikan itu dimuat naik oleh Aqil1 melalui akaun Tiktoknya.

"Mamak lagi. Sapa yang tahu, tahu la kedai ini. Nak termuntah," tulisnya.

Dalam video tersebut, lelaki (perakam) berkenaan menunjukkan sepotong ayam dalam mee goreng yang dipesan oleh rakannya dikerumuni ulat.

"Apa benda s**l ini, eeee habis sudah makan tadi. Ini dekat M****h. Aku dah makan tadi," katanya.

Lelaki tersebut kemudiannya memanggil pelayan restoran makanan dan menunjukkan keadaan makanan yang berulat itu.

"Ini kau nak aku buat apa ini? Banyak ulat ini, kalau nak bagi orang makan pun elok-elok la. Ini kau nak nak buat b**i makan ke?," katanya.

Namun, pekerja restoran tersebut seolah-olah tidak mahu mengaku kesalahan mereka dan mengatakan ayam tersebut baru sahaja digoreng serta dipotong.

"Baru ini, baru potong," katanya.

Isu kebersihan kedai mamak ini seolah-olah sudah menjadi berita sensasi sejak kebelakangan ini.

Manakan tidak, sebelum ini juga media melaporkan kejadian seorang pelanggan berdepan dengan situasi meloyakan apabila seekor tikus menjamah hidangan ayam yang tersedia di kedai makan.

Namun tidak dapat dipastikan lokasi dan tarikh sebenar kejadian tersebut berlaku dan pihak Majoriti juga sudah cuba menghubungi pemilik akaun TikTok berkenaan.

Hasil pemerhatian Majoriti juga video tersebut sudah dipadamkan oleh individu berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram