[VIDEO] Cuba ragut rider foodpanda, 'mat pet' bawa pisau sempat lari 10 meter sebelum dicekup di Bandar Mahkota Cheras


  • 112
  • Jumaat, 20 Jan 2023

Tangkap layar memaparkan suspek berjaya ditahan orang awam dalam kejadian di Bandar Mahkota Cheras, Kajang.

TINDAKAN seorang lelaki dipercayai di bawah pengaruh bahan terlarang meragut seorang rider penghantar makanan membawa padah selepas ditangkap orang awam di Bandar Mahkota, Cheras di Kajang, Selangor pada lewat malam Khamis.

Melalui satu video tular dimuat naik melalui akaun TikTok Sienna, suspek yang dicekup orang ramai duduk atas sebuah motosikal jenis Honda berwarna hitam.

"Hati-hati semua, kejadian ragut di Cheras tadi (Khamis). Turut ditemui pisau dalam beg suspek dipercayai digunakan untuk menikam mangsa," tulisnya.

Tambahnya di ruangan komen lagi, rompakan itu berlaku kira-kita pukul 11 malam Khamis.

"Perompak itu ditangkap bersama pisau, pil ekstasi dan beberapa kad pengenalan mangsa yang diragut," katanya

Dalam video berdurasi 16 saat itu, suspek memakai baju kemeja kelabu kelihatan seperti kesakitan ekoran kakinya seakan-akan dihimpit sebuah kereta berwarna putih.

Seorang lelaki memakai helmet juga dilihat mencengkam baju suspek untuk mengelak suspek melarikan diri dan seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) turut berada di tempat kejadian bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Zaid Hassan mengesahkan kejadian tersebut.

"Mangsa, seorang rider penghantar makanan diragut seorang lelaki menaiki motosikal semasa berada di kawasan Bandar Mahkota Cheras.

"Hasil bantuan orang awam, suspek berjaya ditangkap dalam jarak lebih kurang 10 meter dari lokasi kejadian mangsa diragut. Video tangkapan orang awam tersebut bagaimanapun tular di media sosial yang menunjukkan suspek berumur 22 tahun ditangkap oleh orang awam.

"Semakan juga mendapati suspek mempunyai 12 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan lima rekod dadah. Hasil ujian saringan air kencing juga suspek disahkan positif dadah jenis Methamphetamine.

"Pihak polis berjaya merampas semula kesemua barang yang diragut suspek daripada mangsa iaitu wang tunai, jam tangan, telefon bimbit serta kad-kad dokumen peribadi seperti kad pengenalan diri, lesen memandu dan kad bank, selain beberapa peralatan lain seperti spanar, playar, kunci khas bentuk L, pemutar skru, pisau lipat dan sebuah motosikal jenis Honda yang digunakan suspek semasa kejadian.

Tambah Zaidi lagi, suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Rabu.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan (Kesalahan merompak tanpa senjata) yang memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun dan dikenakan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan,"

Pihak polis menyeru supaya orang awam atau individu-individu yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini memaklumkan kepada pihak polis dengan menghubungi mana-mana balai polis yang berdekatan ataupun berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohd Raziman Bin Rasid di talian 019-4565502 bagi menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan. Pihak Polis juga menghargai kerjasama orang awam dalam membanteras jenayah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram