Suami isteri guna nama syarikat di Alor Setar didakwa tipu insentif Penjana Kerjaya


Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

SEPASANG suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Alor Setar, Kedah pada Khamis atas tiga pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya berjumlah RM29,100 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada 2021.

Anuar Che Lat, 53, dan isterinya Rohana Othman, 55, yang merupakan pemilik sebuah syarikat didakwa melakukan perbuatan itu di Wisma Perkeso, Jalan Teluk Wanjah di Alor Setar pada 9 Mac 2021, 20 Jun 2021 dan 23 Ogos 2021.

Mereka didakwa dengan niat bersama mengemukakan dokumen atas nama syarikat Widad Tours and Travel yang mengandungi butiran palsu iaitu senarai nama pekerja kepada pegawai Perkeso bagi menuntut insentif itu, sedangkan senarai nama tersebut bukan pekerja syarikat itu.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butiran palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM Salizawaty Abd Samad memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM15,000 seorang bagi setiap pertuduhan serta seorang penjamin setiap seorang.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh, Rahamathullah Baharudeen memohon kedua-dua anak guamnya dikenakan jaminan RM5,000 untuk semua pertuduhan.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah kemudian menetapkan masing-masing dikenakan jaminan berjumlah RM21,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin setiap seorang dan menetapkan tarikh sebutan kes untuk serahan dokumen pada 27 Februari. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram