KEMAJUAN teknologi pada masa kini dilihat semakin berkembang pesat dan canggih di dalam negara dari masa ke masa.
Perkembangan ini turut membawa perubahan ke media sosial kerana jika dilihat beberapa tahun kebelakangan ini, media sosial dijadikan medium untuk berkomunikasi atau berurusan dalam talian antaranya melalui platform Facebook, Twitter atau TikTok.
Melalui platform seperti ini, mereka menunjukkan penglibatan yang tinggi dalam aktiviti jaringan media sosial seperti perkongsian foto, muat naik video, menjual dalam talian dan melakukan pelbagai interaksi lain dalam lain dengan platform tersebut.
Namun begitu, penggunaan media sosial yang tidak terkawal boleh mendatangkan bahaya seperti data dan gambar pemilik akaun media sosial tersebut disalah guna oleh orang lain.
Razziah kesal kerana gambarnya disalahgunakan di media sosial. — Facebook
Terbaharu, seorang wanita dikenali Razziah H. Khan menjadi mangsa kepada individu tidak bertanggungjawab mencuri gambarnya untuk mencari jodoh.
Perkara itu diluahkan sendiri olehnya di halaman Facebook peribadi miliknya.
Menerusi perkongsian di Facebook, wanita yang juga merupakan adik kepada usahawan wanita, Vie Shantie Khan memuat naik satu paparan tangkap layar akaun palsu Faceook yang diwujudkan seorang individu menggunakan gambarnya untuk mencari pasangan hidup.
"Memang group @Kota Bharu cari hal. Pandai-pandai jual gambar orang. Siap simpan SINGLE MOM. Usia 29 tahun. Nasib baik dia letak umur muda sikit. Kalau tidak berapi-api juga aku bah. B***nya," tulisnya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Jaquline Anak Desmond dari Sarawak turut mengalami nasib yang lebih kurang sama, cuma 'scammer' tersebut menggunakan nombor telefon miliknya.
Menurut Jaquline 'scammer' tersebut menggunakan nombor telefon miliknya tetapi menggunakan gambar orang lain.
Menurut Jaquline yang juga merupakan seorang eksekutif di syarikat penerbangan berdepan dengan detik menakutkan selepas menerima mesej daripada beberapa lelaki tidak dikenali.
"Ketika kejadian, saya berada di rumah dan saya menerima mesej WhatsApp daripada beberapa individu untuk mengajak berkenalan. Perkara tersebut berterusan selama beberapa hari sehinggalah saya memberanikan diri untuk bertanya pada seorang lelaki dari mana mereka dapat nombor telefon saya.
"Saya terkejut melihat nombor saya disalah gunakan tapi pada masa sama saya juga bersyukur gambar saya tidak tersebar kerana mereka menggunakan gambar wanita lain," katanya kepada Majoriti.
Tambah Jaquline lagi, dia tidak membuat laporan polis sebaliknya hanya menyekat nombor-nombor individu yang menghantar mesej kepadanya.
"Bukan salah mereka dan mungkin terpedaya dengan gambar yang digunakan di Facebook. Cumanya insiden itu membuatkan saya trauma dan pelik kenapa dan bagaimana mereka boleh mendapatkan nombor telefon peribadi milik saya," katanya.
Antara mesej yang diterima Jaquline selepas nombor telefonnya disalahgunakan
Sementara itu, Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, kecurian identiti khususnya foto adalah suatu perkara yang banyak berlaku di platform media sosial.
"Keadaan ini sebenarnya lazim dilakukan di dalam love scam apabila warga Afrika menggunakan foto orang Eropah untuk memperdaya sasaran.
"Kebelakangan ini, ia seolah melalui fasa evolusi di mana kaedah yang sama digunakan tetapi dengan menggunakan wajah wanita. Saya sarankan supaya mangsa membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya tindakan mengesan dan menyekat dapat dilaksanakan.
" Dalam masa yang sama, mangsa boleh juga mengambil tindakan sivil dan jenayah jika perbuatan itu mengaibkan mangsa, " katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram