Selain beri 'pad' percuma, 3 lagi inisiatif KKM perlu cakna


  • Massa
  • Rabu, 14 Dis 2022

Sektor kesihatan merupakan antara terpenting demi kelangsungan hidup selesa rakyat negara ini.

HAMPIR tiga minggu tempoh pentadbiran Kerajaan Perpaduan, rakyat sudah pasti mahukan perubahan dan pembaharuan dalam setiap kementerian yang diwujudkan.

Selain ekonomi, sektor kesihatan merupakan antara yang terpenting demi kelangsungan hidup selesa rakyat negara ini.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan baharu, Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau terbuka untuk mendapatkan cadangan atau pandangan daripada menteri terdahulu berkaitan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau yang juga merupakan wanita pertama memegang jawatan itu juga difahamkan bersedia untuk mendapatkan bantuan berkaitan dengan perkara atau dasar yang pernah diusahakan oleh menteri sebelum ini.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut antara perubahan yang boleh dibawa oleh KKM bagi memastikan sistem kesihatan negara terus berada di tahap terbaik.

1) Pemberian tuala wanita secara percuma di kawasan B40

file5vqheyiepie19e5mx64z

Inisiatif pemberian tuala wanita percuma boleh diperluaskan di kawasan diduduki golongan rakyat marhaen.

Sebelum ini, KKM dilapor bakal melaksanakan inisiatif tuala wanita percuma kepada wanita daripada golongan kurang berkemampuan, dalam usaha memerangi kemiskinan haid.

Sebagai permulaan, Dr Zaliha berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan di pejabatnya sendiri.

Inisiatif itu juga mungkin boleh diperluaskan di kawasan yang mempunyai ramai golongan marhaen atau berpendapatan rendah (B40).

Ini termasuk kawasan luar bandar dan kawasan pedalaman yang dilaporkan sukar untuk mendapatkan alatan sanitasi itu dengan faktor kos dan keberadaan stok.

Terdahulu, kerajaan sebelum ini memberikan bantuan bulanan kit asas kebersihan diri secara percuma kepada 130,000 remaja wanita B40 seperti dibentangkan dalam Belanjawan 2022, sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap isu kemiskinan haid di Malaysia yang berada pada tahap membimbangkan.

2) Isu buli doktor pelatih

doctorresidentinterng84585_1411321

Mangsa buli berdepan dengan kesihatan mental dan ada yang sanggup membunuh diri. — Gambar hiasan/ Agensi

Selain itu, KKM juga mungkin boleh mengkaji semula isu doktor pelatih yang menerima ancaman buli.

Kejadian buli dianggap serius kerana boleh menjejaskan kesihatan mental mangsa sehingga ada yang sanggup membunuh diri.

Malah, tindakan keras terhadap individu pembuli juga mungkin boleh diambil termasuk memberi amaran, menggantung atau membuang kerja.

Pada 17 April lalu, seorang doktor pelatih lelaki berusia 25 tahun ditemukan maut, dipercayai terjatuh dari unit kediamannya di bangunan berhampiran di Jalan Datuk Keramat, Georgetown, Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang, Dr Maarof Sudin mengesahkan mangsa adalah Pegawai Perubatan Siswazah yang melaporkan diri pada 4 April lalu di HPP

Pada 6 Mei lalu, Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, KKM akan menubuhkan pasukan petugas bebas bagi menyiasat kematian doktor pelatih itu.

Jadi, sekiranya pemain di sebalik sektor kesihatan negara berhasrat untuk menyuntik perubahan, isu tersebut perlu diberikan perhatian penuh, sekali gus membina perkhidmatan perubatan lebih baik.

3) Menggalakkan pertumbuhan fasiliti kesihatan di Sabah dan Sarawak

Berdasarkan laporan di laman rasmi Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah, terdapat 105 fasiliti kesihatan di negeri itu bagi menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai.

Di Sarawak pula, terdapat lebih 200 klinik kesihatan dan poliklinik dalam usaha memberi rawatan awal kepada pesakit di negeri tersebut.

Meskipun angka tersebut dilihat mencukupi untuk membantu penduduk di kedua-dua negeri berkenaan, pemerhatian dengan lebih mendalam menyaksikan masih ramai yang tidak dapat akses dengan baik.

IMG_5051

Seorang ibu mendakap bayinya yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital di Kuching.

Misalnya, baru-baru ini, seorang bayi dilapor meninggal dunia dalam dakapan si ibu ketika dalam perjalanan dari Pekan Julau ke hospital di Kuching, Sarawak menaiki bas ekspres.

Tidak sempat menerima rawatan, si kecil telah pergi buat selama-lamanya.

Menurut sumber, si ibu hanya menyedari anaknya sudah tidak bernafas ketika bas tersebut berhenti rehat di Jelukong Rest Stop.

Oleh itu, pihak kementerian perlu memberi perhatian penuh untuk menyelesaikan isu terbabit dengan menyalurkan dana selain memastikan orang ramai mampu menerima rawatan secara lebih kondusif.

4) Seragamkan SOP Covid-19

file7mn72ps5u2vi3ifhsk

Pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan di tempat tertutup tidak lagi diwajibkan di negara ini.

Memandangkan Covid-19 masih belum lagi berakhir, penduduk dunia masih belum lagi dikategorikan selamat daripada pandemik berkenaan.

Apatah lagi, penawar bagi penyakit tersebut belum ditemui dengan Kesatuan Kesihatan Sedunia (WHO) masih bergantung kepada inisiatif vaksin ketika ini.

Meskipun kebanyakan rakyat di negara ini sudah menerima suntikan vaksinasi, namun ia bukanlah jaminan seseorang itu boleh terlepas daripada penyakit tersebut.

KKM merekodkan sebanyak 809 kes baharu Covid-19 pada Isnin, dengan empat daripadanya merupakan kes import.

Pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes pandemik itu di negara ini meningkat kepada 4,972,966.

September lalu, pemakaian pelitup muka di tempat tertutup tidak lagi diwajibkan berkuat kuasa serta-merta.

Mei lalu, pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka tidak lagi diwajibkan, tetapi atas pilihan individu.

Sebaliknya, Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin berkata, pemakaian pelitup muka dalam bangunan dan kawasan tertutup kini adalah atas pilihan sendiri.

Jelasnya, pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka untuk memasuki premis mereka atau sebaliknya.

Dengan keputusan ini, prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 mungkin boleh diseragamkan kembali bagi mengawal pandemik itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram