Tiga beranak maut, 3 parah Chevrolet dan Saga terbakar, kemalangan di Sitiawan


  • Berita
  • Ahad, 11 Dis 2022

Bomba menerima panggilan kecemasan pada 11.13 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian. — Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia

TIGA maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jambatan Permaisuri Bainun, Sitiawan,Perak pada Sabtu.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan berkata, mangsa yang meninggal dunia merupakan pasangan suami isteri dan seorang kanak-kanak lelaki yang menaiki kereta jenis Proton Saga.

Beliau berkata dua lagi kanak-kanak lelaki dan perempuan dalam kenderaan yang sama serta pemandu kenderaan SUV jenis Chevrolet mengalami kecederaan.

"Kita terima panggilan kecemasan pada 11.13 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati kenderaan jenis Chevrolet terbakar 80 peratus.

"Tiga orang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala mangsa yang cedera diberikan rawatan awal dan tiada mangsa yang tersepit," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya kesemua mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis manakala yang cedera dibawa ke hospital oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi memberitahu Bernama, identiti kesemua yang terlibat dalam kemalangan itu akan dimaklumkan kemudian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Bomba, Kemalangan, Maut, Cedera, Polis, KKM, Manjung, Chevrolet