Safuwan jadi rebutan NSFC & TFC, ketahui pro-kontra pilihannya


  • Podium
  • Ahad, 11 Dis 2022

Safuwan terpaksa memakai aksesori khas selepas mengalami kecederaan kepala sejak 2021. — Selangor FC

KECEDERAAN kepala yang dialami pertahanan tengah Selangor FC, Safuwan Baharudin menyaksikan pemain tersebut terpaksa disisihkan daripada baki musim 2022.

Meskipun diberikan peranan kapten pasukan pada awal musim, kecederaan yang dialami ketika bertemu Sabah FC menyekat penampilannya bersama skuad Gergasi Merah dengan hanya diturunkan dalam lima perlawanan.

Ketika itu, dia hanya mampu melihat rakan sepasukannya berdepan satu musim yang terumbang-ambing sebelum kehadiran ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe mengubah takdir mereka.

Selain berjaya menerapkan prinsip dan ideologi taktikalnya, pengendali kelahiran Kedah itu berpeluang memperkukuhkan skuad dengan menggilap bakat pertahanan muda, Shahrul Nazeem Zulpakar.

Cheng Hoe turut dikatakan bijak menggunakan pemain terhad yang dimilikinya sepanjang musim depan memberi minit permainan berharga kepada seorang lagi bintang muda, Richmond Ankrah.

WhatsApp Image 2022-12-10 at 20.12.41

Safuwan memperolehi pelbagai pengalaman bersama pasukan kebangsaan Singapura. Agensi

Oleh itu, ketika ini, Selangor FC mempunyai tiga pertahanan berkualiti termasuk Yazan Al-Arab di samping dikhabarkan dalam usaha mendapatkan pertahanan Negeri Sembilan FC, Khuzaimi Piee.

Hal tersebut seakan-akan memberi bayangan bahawa khidmat Safuwan tidak lagi ditagih meskipun dia merupakan seorang watak penting sejak hadir ke pasukan Lembah Klang itu pada 2019.

Berdasarkan khabar angin ketika ini, dua kelab Liga Malaysia difahamkan bakal menjadi destinasi baharu buat pemain kelahiran Singapura itu untuk menghidupkan semula kariernya.

Naib juara Piala FA, Terengganu FC dikhabarkan sedang merisik Safuwan apabila mereka bakal kehilangan khidmat pemain import, Pape Diakite seperti mana yang kecoh dikatakan ketika ini.

Selain itu, ura-ura turut mengatakan pakej kejutan Liga Super, Negeri Sembilan FC sedang giat untuk menyambar Safuwan untuk menggantikan Khuzaimi tahun depan.

Meskipun tiada pengesahan daripada mana-mana pihak, ramalan masih boleh dibuat dengan menilai baik dan buruk sekiranya untuk pemain berusia 31 tahun itu memilih salah satu daripada kelab berkenaan.

Terengganu FC

Pro: Peluang beraksi di Piala AFC

Bukan sahaja berjaya mara ke pentas akhir Piala FA, malah Terengganu FC juga cukup cemerlang dalam kempen Liga Super dengan menamatkan saingan di tangga kedua.

Kualiti dan kesungguhan anak-anak buah Nafuzi Zain wajar diberikan pujian dengan mereka kerap memberi tentangan hebat kepada pihak lawan dalam setiap pertembungan.

Pencapaian itu membolehkan skuad Sang Penyu beraksi dalam Piala AFC buat pertama kali sejak 2012 selepas pertandingan tersebut dibatalkan pada 2020 berikutan penularan COvid-19.

Oleh itu, sekiranya Safuwan memilih untuk menyertai Terengganu FC, dia berpeluang untuk beraksi di pentas Asia selepas kali terakhir bermain dalam kejohanan peringkat benua itu ketika bersama Lions XII pada 2014.

1845821

Diakite difahamkan akan meninggalkan Terengganu FC musim depan. Facebook/Terengganu FC

Meskipun dia masih tidak membuktikan kemampuannya selepas berdepan isu kecergasan, jadual Liga Super yang padat musim depan pasti memberi peluang untuknya diturunkan dengan lebih kerap.

Di samping itu, pemergian Diakite juga membuka pintu lebih luas untuknya diturunkan dalam kesebelasan utama dengan hanya Saiful Nizam Ros Hasni merupakan antara pertahanan senior terbaik dimiliki pasukan tersebut ketika ini.

Namun, persoalannya, adakah pengendali baharu, Tomislav Steinbruckner akan memilih untuk menyambar khidmat Safuwan apabila Terengganu FC difahamkan berminat untuk mendapatkan bekas pemain, Igor Zonjic.

Selain itu, barisan kejurulatihan juga pastinya akan teragak-agak untuk mendapatkan pemain kebangsaan Singapura itu selepas pihak kesihatan enggan memberikan tempoh sebenar untuknya pulang.

Kontra: Masa depan tidak jelas

Seperti dibincangkan di atas, Terengganu FC berjaya mencatatkan satu musim yang cemerlang dengan beraksi secara konsisten dalam Liga Super serta beberapa kejohanan lain.

Bagaimanapun, masa depan pasukan Pantai Timur itu mula dipersoalkan banyak pihak susulan pemergian Nafuzi selepas keretakan hubungan dengan pihak pentadbiran pasukan.

Lebih teruk lagi, beberapa sumber turut melaporkan skuad Sang Penyu bakal kehilangan beberapa tonggak pasukan, termasuk Faisal Halim yang bakal berkelana ke Selangor FC.

Rentetan daripada perkara itu ialah mereka memerlukan satu tempoh yang agak panjang untuk membina semula kemegahan seperti mana disaksikan sepanjang musim ini.

Add a heading - 1

Mampukah Tomislav mengulangi kejayaan Terengganu musim ini? Facebook/Terengganu FC

Perkara tersebut pasti akan menjejaskan peluang untuk Safuwan memberi sumbangan buat pasukan yang terpaksa melakukan rombakan di samping menggilap bakat-bakat baharu.

Selain itu, bagi Safuwan pula, usianya yang semakin lanjut serta diburukkan dengan isu kecergasan pasti akan kurang memberi tarikan kepada Terengganu FC untuk mendapatkan khidmatnya.

Namun, pengalaman yang dimiliki Safuwan di peringkat kelab mahupun karier antarabangsanya mampu menjadi satu aset utama sekiranya pasukan itu berhasrat untuk mengulangi kejayaan musim ini.

Negeri Sembilan FC

Pro: Minit permainan

Seperti Terengganu FC, musim 2022 boleh disifatkan sebagai antara musim cemerlang buat Negeri Sembilan FC selepas ketua jurulatih berusia 55 tahun, K Devan meneruskan sentuhannya.

Meskipun baru sahaja pulang ke divisyen teratas bola sepak tempatan, skuad Jang tidak perlu menunggu lama untuk membuktikan kebolehan mereka dengan mencatatkan kemenangan demi kemenangan.

Antara komponen penting dalam kemaraan Negeri Sembilan untuk menduduki tangga keempat Liga Super ialah keutuhan benteng pertahanan yang bijak menggandingkan pemain tempatan dan import.

Namun, baru-baru ini, hantaran di media sosial rasmi pasukan mengesahkan beberapa tonggak pasukan akan meninggalkan pasukan termasuk dua bek tengah, Khuzaimi Piee dan Khair Jones.

1762390

Negeri Sembilan cemerlang sepanjang berada bawah kendalian K Devan. Facebook/Negeri Sembilan FC

Kedua-dua pemain tersebut sememangnya penting apabila sumbangan mereka ditagih dalam setiap perlawanan dari segi pembacaan gerak geri lawan mahupun membantu melancarkan serangan.

Oleh itu, keutamaan pihak pengurusan juara Liga Perdana 2021 itu dalam jendela perpindahan kali ini adalah untuk membawa masuk pemain yang cukup kental dalam menyekat pasukan lawan.

Peluang keemasan itu seakan-akan memberi harapan buat Safuwan yang terpaksa melupakan hasrat untuk turun di atas padang dengan lebih kerap seperti mana yang dibincangkan awal tadi.

Selain itu, karier dan prestasi pemain kebangsaan Singapura itu semestinya menjadi satu daya tarikan dengan K Devan lebih tertarik untuk membawa masuk pemain senior ke dalam pasukan.

Persoalannya, mampukah Safuwan mengelak daripada terus dibelenggu isu kecergasan untuk meraih kepercayaan pihak kejurulatihan skuad Jang dalam menggantikan duo pertahanan itu?

Kontra: Tugasan berat ganti Khuzaimi

Khabar angin mengenai perpindahan Khuzaimi ke Selangor sudah heboh diperkatakan pada pertengahan musim apabila dia berjaya mencuri perhatian dengan aksi konsisten bersama skuad Jang.

Kemampuannya terbabit dibuktikan apabila anak-anak buah K Devan hanya dibolosi sebanyak 26 kali dalam aksi Liga Super ketika mereka cuba mengejar slot ke pentas Asia.

Khuzaimi dikatakan antara tulang belakang di sebalik kecemerlangan benteng pertahanan itu dengan dia lantang memberi arahan selain tenang melakukan bentesan dalam situasi yang sukar.

1854440

Khuzaimi cukup cemerlang dalam skuad Jang musim ini. Facebook/Negeri Sembilan FC

Tambahan pula, prestasi yang dipamerkan ketika berada dalam skuad Harimau Malaya turut meningkatkan lagi reputasi pemain berusia 29 tahun itu dengan dia menjadi antara wajah penting sepanjang kempen Piala Asia 2023.

Jadi, sekiranya Negeri Sembilan berhasrat untuk membawa masuk wajah baharu, perbandingan pasti akan dibuat penyokong yang sukar untuk melupakan kelibat Khuzaimi.

Safuwan juga pasti tidak terkecuali untuk berdepan perkara itu dengan barisan kejurulatihan pastinya meletakkan tanggungjawab besar di bahu pemain berkenaan.

Hal itu kerana dia memiliki pengalaman dalam sukan tersebut selain pernah mewakili beberapa kelab Liga Malaysia termasuk PDRM FC dan Sri Pahang FC.

Tetapi, dengan kematangan dan cara pemikiran Safuwan yang profesional, perbandingan itu pasti tidak akan menjejaskan kemampuannya selain berupaya untuk membuktikan kemampuannya di atas padang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram