SEGELINTIR pihak tidak berasakan pentingnya penjagaan kesihatan selagi belum disahkan menghidap sebarang penyakit kronik oleh doktor.
Pengambilan menu seperti makanan proses, makanan segera, perisa tambahan, minuman bergas dan gula tambahan antara yang berada dalam carta senarai hidangan harian.
Tanpa sebarang kawalan termasuk melakukan aktiviti riadah mahupun fizikal seperti bersenam, olahraga dan sebagainya, dapat menyebabkan berlaku peningkatan berat badan serta terdedah kepada penyakit berisiko tinggi.
Keadaan begitu yang dialami oleh Vicky Rao apabila dia disahkan menghidap kencing manis atau diabetes tahap dua.
Awalnya dia dimasukkan ke hospital untuk mendapat rawatan akibat demam denggi. Namun, alangkah terkejutnya, apabila doktor memaklumkan berita mengenai penyakit kronik itu kepadanya.
“Sebelum ini, pengetahuan tentang diabetes dan kesannya tidak begitu mendalam. Saya menikmati segala makanan ketika umur masih muda sehingga berat badan mencecah 160 kilogram (kg).
“Saya tidak mahu melepaskan makanan ringan yang sudah menjadi kegemaran. Namun, setelah disahkan menghidap diabetes, saya perlu melakukan perubahan,” katanya.
Keadaan Vicky ketika berat badannya mencecah 160 kg.
Disebabkan penyakit itu, Vicky tidak mempunyai pilihan lain melainkan menjaga diet pemakanan dan senaman. Begitu juga dengan pemeriksaan tahap glukosa dalam badan yang sudah menjadi rutin harian baginya.
“Doktor menyuruh saya memberikan komitmen sepanjang hidup dan menasihatkan agar lebih kerap bersenam selain mengurangkan pengambilan gula dan karbohidrat.
“Setiap hari makanan perlu disediakan dalam kuantiti betul dan tidak menjejaskan paras glukosa dalam badan,” terangnya bersungguh-sungguh.
Terdesak dan tertekan
Perubahan gaya hidup secara drastik membuatkan Vicky berasa tertekan dan letih. Kadangkala tanpa sedar, dia kembali menjalani rutin harian seperti biasa sehingga berputus asa.
Tidak menghiraukan tentang kesihatannya, Vicky kembali meneruskan gaya hidup seperti biasa iaitu tidak bersenam dan mengambil makanan bergula serta tinggi karbohidrat.
Dia kemudian dibawa ke hospital untuk membuat pemeriksaan oleh ibunya. Hasil ujian Hba1c, mendapati paras gluksa mencecah 19.1 milimol seliter (mmol/L) iaitu paras tertinggi dan melebihan julat norma, 5.7 mmol/L ke bawah.
Menyedari itu, vicky mula membulatkan hati untuk optimis mengenai matlamat hidup demi menjalani kehidupan sihat.
“Saya cuba berusaha, tetapi hasil keputusan paras glukosa yang tidak memberangsangkan membuatkan diri kecewa.
“Tiada sebarang kemajuan, sedangkan saya sudah bersungguh-sungguh untuk berubah.
“Kemudian saya dimaskkan ke hospital kerana paras gula 16.1 mmol/L. Sejak itu saya mula melihat kesihatan ini antara hidup dengan mati,” jelasnya penuh yakin.
Tetapkan sasaran
Dia kemudian berubah menjadi individu yang penuh semangat. Melakukan rejim pemantauan yang konsisten dengan memeriksa paras glukosa sebanyak tujuh kali sehari.
Perkara itu dapat membantunya lebih peka terhadap sebarang perubahan selepas setiap mengambilan makanan.
Makanan yang kaya protein dan mengurangkan pengambilan karbohidrat di samping memilih makanan seperti beras perang dan sayuran membantunya menurunkan kadar glukosa.
Vicky kemudian mengikuti Program Perubahan Gaya Hidup Glucerna (GLGP) iaitu sebuah program intervensi selama empat minggu.
Aktiviti merangkumi kaunseling diet, pemakanan diabetes, senaman dan pemantauan glukosa secara berterusan.
Sepanjang program itu, dia menjalani perundingan maya setiap minggu bersama pakar pemakanan.
“Sokongan dan pelan makanan berdasarkan keperluan diet, kegemaran dan matlamat kesihatan. Saya digalakkan untuk mencatat jurnal bagi memantau bacaan paras glukosa harian dan pengambilan makanan selain menjejaki perkembangan mingguan.
“Meningkatkan tahap senaman yang iaitu berlari di atas treadmill selama 45 minit hingga satu jam setiap hari merupakan perubahan drastik daripada gaya hidup tidak aktif sebelum ini,” terangnya selain mempelajari tentang paras glukosa rendah atau hipoglisemia dengan berkesan menerusi acara terbabit.
Vicky akui program tersebut memberikan perubahan ketara apabila dia berasa lebih sihat selepas sebulan mengikutinya.
Berat badan turut berkurangan sebanyak 5kg manakala paras gula kekal stabil pada tahap 6 mmol/L pada peringkat awal penyertaan.
Pengajaran hidup
Selain membantunya untuk menjalani kehidupan sihat, program itu turut mendidiknya tentang kepentingan mengawal kuantiti setiap jenis makanan.
Mematuhi jadual pemakanan secara konsisten termasuk peka terhadap kandungan nutrisi lengkap dan seimbang seperti Glucerna.
Kini dia mampu untuk mengekalkan paras gula dalam badan secara purata 6-6.3 mmol/L, selain mempunyai sasaran untuk menurunkan lagi angka tersebut.
Kesan daripada itu, berat badan Vicky yang dahulunya mencecah 160 kg menurun kepada 100 kg.
Vicky mengharapkan perjalanan hidupnya bertarungkan dengan penyakit diabetes dapat menjadi inspirasi kepada orang lain tentang kepentingan menjaga kesihatan.
Ini kerana, segalanya bermula daripada pemakanan dan amalan gaya hidup. Disebabkan itu, Vicky mengambil keputusan untuk kekal positif dan meneruskan gaya hidupnya untuk kekal sihat.
Tidak hanya pesakit, ujarnya, malah individu di sekeliling juga perlu membantu bagi memberikan sokongan agar mereka tidak mudah mengalah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram