Rawatan psikiatri tak bermaksud gila, perlu ubah persepsi demi kelestarian kesihatan bersama


  • Sihat
  • Selasa, 13 Dis 2022

Pesakit mental memerlukan rawatan dan sokongan tidak mengira sama ada keluarga, kenalan mahupun masyarakat bagi memastikan mereka dapat sembuh dan menjalani kehidupan seperti biasa. — Gambar hiasan

GANGGUAN kesihatan mental bukan lagi perkara tabu memandangkan masalah itu sudah tergolong dalam senarai penyakit kronik di negara ini.

Beberapa pihak bertanggungjawab termasuk selebriti berusaha untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang pentingnya mendapatkan rawatan, namun masih terdapat golongan yang memandang negatif terhadap perkara itu.

Corak pemikiran sebegitu perlu diubah agar tidak terus menyiksa pesakit yang menderita dan perlu mendapatkan rawatan. Disebabkan enggan ‘memikul’ bebanan dilabel sebagai gila atau kurang siuman, mereka lebih mudah memilih untuk tidak mendapatkan khidmat nasihat pakar.

Menurut Pengkhususan Kebimbangan dan Kemurungan PhD (Psikologi) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Dr Meriam Omar Din, masyarakat perlu mengubah mentaliti mereka kerana penyakit ini mampu menjadi parah jika tidak mendapat rawatan sewajarnya.

51620530100_PakarPsikologiPus

Dr Meriam Omar Din

“Stigma itu berpunca daripada persepsi yang tidak tepat tentang istilah penyakit mental sebagai tidak siuman atau gila (Psikizofrenia). Ketakutan dilabel sebegini menyebabkan pesakit akan mengelak berjumpa pakar.

“Situasi ini perlu ditangani supaya masyarakat memahami penyakit yang dirawat oleh pakar agar dapat hidup normal sekiranya mereka mangambil ubat dan mengikuti psikoterapi secara berterusan,” katanya kepada Majoriti.

Tambahnya, penyakit dalam kategori kebimbangan, kemurungan dan gangguan panik berpunca daripada faktor krisis kehidupan semasa kecil, trauma dalam hidup yang harus ditangani melalui sesi-sesi psikoterapi atau kaunseling.

“Saya nasihatkan lebih baik dapatkan khidmat doktor dahulu untuk memastikan rawatan seterusnya sama ada memerlukan ubatan atau khidmat kaunseling,” ujarnya.

Sementara itu, Mantan Presiden, Persatuan Psikologi Malaysia, Profesor Datin Dr Noran Fauziah Yaakub menyeru agar masyarakat tidak lagi memandang negatif kepada pesakit yang mendapatkan rawatan dengan psikiatri.

Screenshot 2022-12-12 at 2.12.13 PM

Profesor Datin Dr Noran Fauziah Yaakub

Hal ini kerana, jelas beliau, setiap pesakit yang mengalami masalah kesihatan perlu berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan sewajarnya.

“Walaupun kini banyak kemajuan yang sudah dicapai untuk memahami dan merawat pesakit, namun masih ada segelintir masyarakat yang mempunyai persepsi negatif.

“Perkara ini menyebabkan pesakit gagal dirawat manakala kesihatan mereka pula terganggu dan menyebabkan semakin buruk,” jelasnya.

Dalam pada itu, Noran Fauziah turut memberitahu, terdapat beberapa penyakit mental seperti skizofrenia, bipola, kerisauan, stres dan kemurungan. Setiap daripada penyakiti itu mempunyai cara rawatan dan pendekatan berlainan.

Usaha

close-up-people-group-therapy

Disebabkan itu Noran Fauziah menggesa agar semua pihak memainkan peranan bagi membantu pesakit untuk mendapatkan rawatan dengan baik.

“Pesakit yang mendapatkan rawatan memerlukan sokongan daripada keluarga, kenalan dan masyarakat untuk pulih. Mereka tidak seharusnya dipandang sinis atau diremehkan.

“Sifat prejudis terhadap pesakit mental perlu dihapuskan kerana mereka yang mengambil ubat-ubatan atau kaunseling memerlukan perhatian agar mereka tidak berasa sendiri,” tambahnya.

Sehubungan itu, Noran Fauziah mengharapkan semua pihak berganding bahu bagi membentuk kesedaran dalam masyarat tentang pentingnya penjagaan kesihatan mental.

Bukan sahaja mengelakkan daripada mengalami masalah mental, tetapi membantu agar pesakit yang ingin mendapatkan rawatan tidak takut mahupun bimbang tentang soal pandangan masyarakat terhadap mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram