[VIDEO] Tak dengar bunyi siren, nenek nyaris maut terperosok bawah ambulans


  • Benua
  • Isnin, 12 Dis 2022

Tangkap layar menunjukkan kejadian malang seorang warga emas dilanggar ambulans di Serbia baru-baru ini.

SEORANG warga emas hampir maut selepas wanita berkenaan dilanggar sebuah ambulans di Belgrade, Serbia.

Kejadian itu berlaku pada Khamis lalu ketika warga emas berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Memetik laporan media antarabangsa Serbia Blic, pihak Institut Perubatan Kecemasan di Belgrade sudah memohon maaf kepada keluarga mangsa.

"Pihak kami kesal dengan kejadian yang berlaku pada mangsa dan sudah menemui keluarganya untuk meminta maaf.

"Pemandu ambulans berkenaan tidak menyedari kehadiran warga emas tersebut ketika mengundurkan kenderaan dan begitu juga dengan warga emas tersebut yang berkemungkinan besar tidak mendengar bunyi siren.

"Malah, pegawai kesihatan yang bertugas pada waktu kejadian juga tidak menyedari kelibat warga emas yang terperosok di bawah ambulans sehingga mangsa menjerit memanggil mereka," kata jurucakap hospital berkenaan.

Difahamkan, mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan sudah mendapatkan rawatan di hospital.

Setakat berita ini ditulis, pihak hospital memaklumkan mereka sudah mengambil tindakan disiplin terhadap pemandu ambulans tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram