'Dr Zaliha, jangan takut buat keputusan sukar', 2 bekas menteri titip kata semangat


  • Primer
  • Selasa, 13 Dis 2022

Khairy berkata, menteri kesihatan terbaharu,  Dr Zaliha Mustafa dan kementerian tidak perlu takut membuat keputusan yang sukar.

KEAZAMAN politik yang kukuh diperlukan bagi memastikan pembaharuan kesihatan untuk negara dapat dilaksanakan dengan berkesan walaupun ia bermakna perlu membuat keputusan yang sukar, kata dua bekas menteri kesihatan.

Khairy Jamaluddin, yang sebelum ini menerajui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM itu dari 2021 hingga tahun ini berkata, menteri kesihatan terbaharu, Dr Zaliha Mustafa dan kementerian tidak perlu takut membuat keputusan yang sukar.

"Anda mendapat sokongan daripada bekas menteri kesihatan," katanya kepada pemberita selepas menyertai forum Hari Liputan Kesihatan Sejagat pada Selasa.

Khairy menambah, banyak pembaharuan yang dirancang kementerian sudah disediakan sejak Tan Sri S. Subramaniam memegang jawatan itu dari 2013 hingga 2018.

“Banyak kajian dan banyak perbincangan telah dilakukan dan kemahuan politik yang kuat diperlukan untuk melaksanakannya,” katanya.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersetuju dan berkata, landskap politik semasa, yang terdiri daripada Kerajaan Perpaduan iaitu antara pelbagai blok politik perlu bergerak ke hadapan dengan pembaharuan kesihatan.

“Tiada pilihan lain selain terus ke hadapan dalam melaksanakannya.

“Kemahuan politik diperlukan dan memandangkan sejauh mana penyelidikan telah dilakukan, pelaksanaan adalah kunci.

"Ini (pelaksanaan) juga akan mempengaruhi landskap penjagaan kesihatan merentasi pelbagai aspek," kata Dr Dzulkefly, yang menerajui kementerian itu dari 2018 hingga 2020.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, beliau akan mengambil iktibar perkara yang disebut oleh menteri kesihatan sebelum ini semasa forum itu.

“Menteri Kesihatan dan saya sendiri juga sedang berusaha keras untuk merealisasikan aspek yang diusahakan oleh menteri kesihatan terdahulu,” katanya sambil menambah beliau juga terbuka untuk menerima maklum balas daripada mereka.

Subramaniam turut mengambil bahagian dalam forum tersebut. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram