Anwar bakal dapat majoriti usul undi percaya


  • Politik
  • Jumaat, 09 Dis 2022

Anwar bersetuju melaksanakan usul undi percaya pada 19 Disember ini.

MESKIPUN Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu, masih ada pihak yang mempertikaikan keabsahan beliau memegang jawatan tersebut.

Perkara itu berlaku apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu wajar mengemukakan bukti, yang mana beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk menjawat jawatan Perdana Menteri.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, perkara tersebut juga bertujuan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keabsahan Anwar memegang jawatan berkenaan.

file7nyjgjooelzkk3dbdgt

Barisan Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar. — Facebook Anwar

Menyahut cabaran itu, Anwar berkata, usul undi percaya bagi membuktikan keabsahan tersebut akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan 19 Disember ini.

Rusdi-Omar (1)

Rusdi Omar

Tampil mengulas, Profesor Madya Dr Rusdi Omar berkata, sekiranya Anwar tidak mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat, maka beliau perlu meletak jawatan secara terhormat manakala pelantikan semula Perdana Menteri bagi calon lain perlu diadakan.

Namun, penganalisis politik itu berkata, beliau yakin bahawa perkara tersebut tidak akan berlaku, sebaliknya percaya sokongan majoriti berpihak kepada Anwar.

"Daripada 100 peratus, 99.9 peratus akan menyokong. Selebihnya 0.1 lagi tidak menyokong (Anwar). Pembangkang akan cakap kemungkinan beliau tidak dapat majoriti.

"Jika kita lihat bila perjanjian dibuat antara parti-parti politik kerajaan, secara tidak langsung circulation Anwar sudah dapat lebih 140 sokongan Ahli Parlimen," katanya kepada Majoriti.

Rusdi Omar berkata, ketika ini bukan masa sesuai untuk menukar kerajaan, sebaliknya pemimpin politik perlu menunaikan kemahuan rakyat.

Tambahnya, Anwar sepatutnya tidak perlu melaksanakan undi percaya tersebut kerana pembentukan kerajaan sudah pun dilakukan.

"Tetapi saya yakin beliau melakukannya bagi memastikan bahawa beliau benar-benar dapat majoriti. Selain itu, beliau hanya ingin memberitahu keyakinan beliau tentang perkara tersebut," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram