PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Thailand, Jen Prawit Wongsuwan di kediaman rasminya di Seri Perdana, di Putrajaya.
Lawatan khas Prawit ke Malaysia itu, diiringi Timbalan Menteri Pertahanan Thailand, Jen Chaichan Changmongkol.
Ketibaan Prawit dan delegasinya di Seri Perdana kira-kira pukul 12 tengah hari itu, disambut Anwar bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Sejurus tiba, Anwar dan Prawit mengadakan perbincangan selama hampir dua jam dan kemudiannya meraikan Prawit serta delegasinya dalam majlis makan tengah hari.
Perdana Menteri yang ditemui selepas itu secara ringkas berkata, perbincangan beliau dan Prawit antara lain menyentuh mengenai insiden letupan bom mengakibatkan sebuah keretapi barang yang dalam perjalanan dari Hatyai ke Padang Besar tergelincir, pada 6 Disember lepas.
Prawit dan delegasinya tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada pukul 11 pagi tadi bagi sesi lawatan khas sehari ke Malaysia.
Kunjungan yang antara lain bertujuan memperkukuh hubungan dua hala kedua-dua negara serta bertukar pandangan dan perkongsian maklumat bagi kebaikan serantau itu, merupakan kunjungan kedua Prawit ke Malaysia sejak pintu sempadan negara dibuka semula pada April lalu, akibat pandemik Covid-19.
Kali pertama Prawit ke negara ini pada Mei lepas bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am Ke-55 antara Malaysia dan Thailand di Kuala Lumpur.
Malaysia dan Thailand telah menjalin hubungan diplomatik selama 65 tahun sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.
Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar bagi Malaysia di dunia dan kedua terbesar di rantau Asean, manakala Malaysia kekal sebagai rakan dagang keempat terbesar bagi Thailand di dunia. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram