Nanta sokong lebih ramai rumpun Dayak, Cina Sarawak dilantik timbalan menteri


  • Primer
  • Khamis, 08 Dis 2022

Nanta berkata sebagai pemimpin kaum Dayak dalam GPS, beliau menyatakan sentimen dan harapan masyarakat Dayak Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan.

SETIAUSAHA Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyokong lebih ramai orang Dayak dan Cina dari Sarawak dilantik sebagai timbalan menteri bagi mencerminkan kepimpinan berbilang kaum dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, masyarakat etnik minoriti seperti Bidayuh, Lun Bawang, Kayan, Kenyah, Melanau dan Iban harus diberi peluang untuk terlibat dalam kerajaan itu.

“Ahli Parlimen daripada pelbagai kumpulan etnik ini jelas berkebolehan dan sudah berkhidmat beberapa penggal sebagai Ahli Parlimen dan Senator.

“Hampir kesemua mereka pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri dan seorang daripada mereka (Datuk Seri Doris Sophia Brodi) juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Speaker Dewan Negara.

"Pengalaman luas barisan pemimpin ini mesti menjadi pertimbangan untuk dilantik sebagai timbalan menteri," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Nanta lagi, Ahli Parlimen daripada masyarakat Cina Sarawak juga perlu diberi peluang untuk dilantik sebagai Timbalan Menteri dan ini termasuk calon dari DAP.

“Pembentukan sebegini akan mencerminkan perpaduan dalam kalangan pemimpin berbilang kaum di negara ini di bawah Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata, antara Ahli Parlimen yang boleh dipertimbangkan termasuk Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin berbangsa Bidayuh, Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong (Lun Bawang), Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Taib (Melanau), Ahli Parlimen Baram, Datuk Anyi Ngau (Kayan/Kenyah) dan Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong (Iban).

Walaupun menyedari sepenuhnya bahawa pelantikan timbalan menteri adalah prerogatif Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nanta berkata sebagai pemimpin kaum Dayak dalam GPS, beliau menyatakan sentimen dan harapan masyarakat Dayak Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan.

Nanta juga percaya Perdana Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut berkongsi pandangan yang sama mengenai perkara itu.

Beliau berkata kejayaan Abang Johari menerajui Sarawak adalah kerana gaya inklusif dan pemahamannya terhadap masyarakat Sarawak yang berbilang kaum, budaya dan agama.

“Saya percaya dengan kebijaksanaan Perdana Menteri dalam mempertimbangkan perkara ini. Saya juga berharap agar sesiapa yang dilantik akan memikul tanggungjawab ini dengan penuh integriti bagi memastikan agenda pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat dapat direalisasikan,” tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram