Rafizi boleh jadi 'champion' jika selesaikan isu keterangkuman ekonomi — Barjoyai Bardai


  • Politik
  • Khamis, 08 Dis 2022

Rafizi berdepan tugas sukar untuk membantu memulihkan ekonomi negara.

EKONOMI negara berada di landasan tepat sekiranya Rafizi Ramli berjaya mengatasi isu keterangkuman ekonomi dalam tempoh terdekat.

Pakar ekonomi, Prof Dr. Barjoyai Bardai berkata, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berdepan tugas sukar untuk melakukan penstrukturan semula ekonomi negara.

"Memulihkan ekonomi negara selepas pandemik Covid-19 bukanlah sesuatu tugas yang mudah kerana banyak perkara perlu diambil kira.

"Pada dasarnya, Rafizi harus mengenal pasti permasalahan ekonomi negara sebelum merancang dan melaksana strategi yang bersesuaian," katanya kepada Majoriti.

Changing perceptions towards tax: Education and awareness on tax is necessary to cultivate a society that views tax as contribution towards nation-building that can ensure the future development and survival of taxpayers, said Dr Barjoyai.

Prof Dr. Barjoyai Bardai

Kata Barjoyai, setakat ini, ekonomi negara mula menampakkan sinar selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menjadi Perdana Menteri.

"Pelabur mula memberi suntikan pelaburan kerana yakin dengan pertumbuhan ekonomi negara dan perkara ini harus diteruskan bagi menyakinkan pelabur luar untuk terus melabur di negara ini.

"Pada pandangan saya, Rafizi mampu menjadi champion sekiranya berjaya menyelesaikan isu keterangkuman ekonomi negara dalam tempoh terdekat atau sepanjang menjawat jawatan sebagai Menteri Ekonomi.

"Pada masa sama, Rafizi harus memastikan setiap rakyat Malaysia dapat menikmati manfaat hasil pertumbuhan ekonomi negara selain memastikan tiada golongan yang tercicir," jelasnya.

1573045

Ramai kehilangan kerja ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

Tambah Barjoyai, penstrukturan semula ekonomi dan perancangan konkrit harus dilakukan kementerian tersebut.

"Saya mencadangkan agar Rafizi mendapatkan statistik serta data dari jabatan berkaitan secara terperinci atau mikro bagi mengetahui masalah dari akar umbi bukan menerusi makro yang meliputi skop yang luas.

"Ia secara tidak langsung membantu Rafizi melakukan pelan dan pelaksanaan yang lebih berkesan untuk membantu memulihkan ekonomi negara.

"Rafizi juga harus memastikan daya ketahanan ekonomi negara mampu mengharungi situasi luar jangka seperti Covid-19 sebelum ini.

Panorama aerial morning view of beautiful Kuala Lumpur city skyline. Malaysia

Daya tahan ekonomi juga harus dipertingkatkan untuk mengharungi situasi luar jangka.

"Pandemik mencabar daya tahan ekonomi negara sehingga menyaksikan ramai yang terjejas teruk akibat kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan," jelasnya.

Barjoyai memberitahu, pemulihan ekonomi yang baik bukan sahaja membantu negara malah mampu membantu rakyat keluar dari krisis pasca-pandemik.

Terdahulu, Rafizi di Twitter sedang melakukan penelitian untuk menyusun perancangan kementerian berkenaan bagi tempoh sehingga Jun depan.

Beliau juga akan berbincang dengan semua pegawainya untuk mendapatkan pandangan mengenai program yang memberi kesan meluas dan pantas kepada pertumbuhan ekonomi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram