'Tiada apa yang perlu disembunyikan', Zafrul sahkan belum dipanggil SPRM


  • Primer
  • Khamis, 08 Dis 2022

Tengku Zafrul masih belum dihubungi oleh SPRM tetapi bersedia memberikan kerjasama penuh dalam sebarang siasatan.

TENGKU Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam sebarang siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bekas menteri kewangan itu berkata, dalam ciapannya pada Khamis, beliau masih belum dihubungi oleh SPRM tetapi bersedia memberikan kerjasama penuh dalam sebarang siasatan.

“Sebelum ini, saya ditanya sama ada saya dipanggil SPRM untuk memberi kenyataan berhubung isu perbelanjaan RM600 bilion.

"Jawapan saya mudah. ​​Saya tiada apa yang perlu disembunyikan. SPRM masih belum menghubungi saya tetapi saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya," kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang baru dilantik itu menerusi ciapan di Twitter miliknya.

Beberapa media tempatan melaporkan bahawa SPRM akan memanggil bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Tengku Zafrul untuk memberi keterangan mengenai salah guna dana RM600 bilion itu.

Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik Covid-19 itu pernah dibangkitkan oleh bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari pada 15 November lepas.

Pada 6 Disember lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi Bernama mengesahkan pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.

Pada hari sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Muhyiddin supaya tidak mencabar kerajaan berhubung isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan di bawah pentadbiran Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sebelum ini.

Sehari sebelum itu, Muhyiddin pada sidang media selepas menyampaikan ceramah Grand Finale PN sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai mahu Anwar menyiasat isu berkaitan dana itu dengan betul dan mendapatkan data sebenar sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram