Mansuh pemakaian tali leher murid sekolah, batik Malaysia terlalu mahal


Gaya tanpa tali leher oleh Anwar kini menjadi tumpuan masyarakat.

IMEJ yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu tampil tanpa mengenakan tali leher benar-benar mendapat reaksi daripada warganet.

Malah, Pengarah Urusan (MD) Tony Blair Institute for Global Change, Jalil Rasheed menerusi akaun Twitter miliknya turut memberi respons berkenaan gaya Anwar.

"Saya suka dengan gaya tanpa tali leher (yang digayakan Anwar). Sudah tiba masanya kita hapuskan pemakaian tali leher.

"Boleh tak kalau kita mula tampil dengan lebih banyak pakaian batik Malaysia," katanya.

1069044

Tali leher menjadi sebahagian daripada uniform murid sekolah.

Buang tali leher dalam kalangan murid

Ciapan itu turut mengundang reaksi pelbagai lagi warganet yang turut memanjangkan perkara itu khususnya dalam kalangan murid sekolah.

Nazmi Azizan berkata, Menteri Pendidikan juga boleh mula hapuskan pemakaian tali leher dalam kalangan murid sekolah.

"Menteri Pendidikan pun sudah boleh hapuskan pemakaian tali leher dalam kalangan murid. Kasihan budak-budak panas," katanya.

Seorang lagi warganet, WatashiWaraNomi turut bersetuju bahawa pemakaian tali leher sangat menyusahkan.

"Hampir semua orang rasa perkara sama. Kalau terkena yang leher besar atau lebar, memang tak nice. Akhirnya kena longgarkan sedikit dan nampak tidak kemas.

"Lepas itu suit dan tie ini pakaian barat. Kita kena normalize pemakaian formal yang baharu dari budaya kita sendiri," katanya.

MCO2U turut menegaskan bahawa pemakaian tali leher dalam kalangan kanak-kanak adalah tidak sesuai.

"Tolong hapuskan pemakaian tali leher untuk kanak-kanak. Tak logik dengan cuaca kita. Pihak berkaitan sila kaji perkara ini. Mungkin ada seseorang yang membuat duit dengan melaksanakan pemakaian tali leher," katanya.

WhatsApp Image 2022-12-09 at 11.53.36 AM

Harga batik Malaysia terlalu mahal membuatkan ramai tidak mampu untuk menggayakannya.

Batik Malaysia terlalu mahal

Pemakaian baju batik seperti yang diutarakan Jalil Rasheed turut mendapat reaksi positif dalam kalangan warganet.

Namun, ada yang beranggapan bahawa batik Malaysia terlalu mahal hingga membuatkan ramai menolak pemakaiannya.

"Masalah kita ialah batik Malaysia terlalu mahal. Patut ikut cara bagaimana Indonesia menjadikan batik mereka dengan harga yang lebih mampu buat semua orang," kata Azman Imran.

Bersetuju dengan perkara sama ialah Dewata yang berkata, rata-rata rakan sekerjanya mengenakan batik Indonesia yang lebih murah.

Ravivarma Rao pula berkata, batik Malaysia memang nampak menarik untuk digayakan tetapi terlalu mahal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram