Penyelewengan pengurusan Covid-19, libat peruntukan RM530b — SPRM


  • 112
  • Jumaat, 09 Dis 2022

Sebelum ini Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak takut disiasat susulan dakwaan penyelewengan dana kerajaan sebanyak RM600 bilion.

SIASATAN awal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penyelewengan dana berkaitan pengurusan Covid-19 mendapati jumlah peruntukan yang terlibat dianggarkan sebanyak RM530 bilion.

SPRM dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan daripada jumlah itu, RM92.5 bilion membabitkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan.

"SPRM telah menerima daripada Kementerian Kewangan mengenai butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang telah dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 berkaitan pengurusan Covid-19.

"Justeru fokus siasatan SPRM akan terarah kepada dana RM92.5 bilion berkenaan,” menurut kenyataan itu.

SPRM memaklumkan Kementerian Kewangan kini sedang memperincikan pecahan berkenaan dan akan menyerahkannya kepada suruhanjaya itu pada minggu hadapan.

Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik Covid-19 itu, pernah dibangkitkan oleh bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari pada 15 November lepas.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada agensi berkaitan untuk menyiasat isu itu.

Anwar berkata, Kementerian Kewangan telah memaklumkan beberapa pelanggaran melibatkan isu berkenaan.

Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dilapor berkata, beliau tidak takut disiasat susulan dakwaan penyelewengan dana kerajaan itu, ketika beliau mengetuai pentadbiran sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram