PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) yang baru sahaja selesai pada Sabtu lalu dilihat berakhir dengan banyak keputusan mengejutkan terjadi kepada calon yang bertanding di sesebuah kawasan.
Antara perkara mengejutkan berlaku apabila seseorang calon yang disifatkan sebagai ‘underdog’ ataupun muka baharu di kawasan itu berjaya menewaskan calon 'heavyweight’.
Bukan itu sahaja, ada juga beberapa ahli politik yang bertanding pada PRU15 merupakan seorang individu yang memegang jawatan tertinggi di sesebuah persatuan bola sepak negeri mahupun kelab.
Meskipun nama mereka dikenali sebagai salah seorang individu yang berpengaruh dalam kelab bola sepak namun undian masih tidak berpihak kepadanya pada PRU kali ini.
Sebagai contoh, Presiden Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad tewas di tangan Datuk Seri Johari Abdul Ghani selepas calon Pakatan Harapan itu meraih undi sebanyak 20,410 di Parlimen Titiwangsa.
Khalid meraih 20,410 undi di Parlimen Titiwangsa. — Agensi
Menjadi persoalan dalam kalangan penyokong bola sepak apakah kesan yang akan berlaku di sebalik kekalahan seorang tokoh politik pada PRU kali ini bagi yang terlibat dalam persatuan bola sepak dan kelab.
Hal ini kerana, terdapat ahli politik berkenaan membantu dalam menyalurkan kewangan kepada kelab bola sepak itu.
Mengulas isu berkenaan, pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim menyatakan bahawa semestinya terdapat kesan PRU kali ini kepada bola sepak negara.
Menurutnya, sesiapun ahli politik yang terlibat dalam bola sepak pasti akan berkuasa untuk menarik pelabur dan sekali gus mengukuhkan kewangan kelab berkenaan.
“Kita bukan profesional, kita masih harap ahli politik bagi dana. Atau ahli politik guna kuasa untuk dapat penajaan dari syarikat-syarikat untuk mendapat manfaat politik. Biasanya begitu amalan di negara ini.
“Biasanya amalan kita selama ini akan beri kesan kerana orang yg ada kuasa untuk boleh bawa dana masuk dalam FC (kelab) untuk bangkit semula.
“Atau bagi kepada orang yang menang ambil alih jawatan. Orang yang menang, dia ada kuasa. Bila dia ada kuasa boleh tarik pelabur dan sememangnya ada kelebihan,” katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, apabila sesebuah kelab itu berjaya dalam bola sepak, pastinya ia akan mendatangkan mileage politiknya.
Shahidan merupakan presiden KL City yang dilantik pada tahun ini. — Facebook/Shahidan Kassim
“Sebab itu Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Shahidan Kassim, Khalid Samad berebut nak naikkan KL City semasa Piala Malaysia.
“Saya sendiri dengar kempen Khalid Samad, beliau naikkan yang KL menang Piala Malaysia. Di Kedah dulu Datuk Seri Utama Mukhriz dia selalu ‘up’ bantu Kedah,” tambahnya.
Selain Khalid Samad, presiden KL City, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar masing-masing berjaya mempertahankan kerusi di Parlimen Arau serta Parlimen Kinabatangan.
Dalam pada itu, secara umumnya beliau mengharapkan agar diwujudkan dasar untuk membantu menambah baik bola sepak negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram