Tok Mat cadang PN-PH bergabung tubuh kerajaan, BN rela jadi pembangkang


  • Politik
  • Isnin, 21 Nov 2022

Tok Mat berkata, BN bersedia memberi bantuan sekiranya diperlukan PN dan PH ketika pasca PRU.

NEGARA kini berdepan dengan situasi Parlimen tergantung, apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan adalah 112 kerusi.

Keputusan PRU15 menyaksikan gabungan parti antaranya Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi Parlimen, Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi, manakala Barisan Nasional (BN) berjaya merebut 30 kerusi.

Tampil bersuara mengenai perkara itu, Datuk Seri Mohamad Hasan mengakui bahawa BN sudah tiada kuasa untuk menubuhkan kerajaan, selepas ditolak rakyat dalam PRU15.

Justeru, Timbalan Pengerusi BN itu mencadangkan supaya PN dan PH bergabung untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan, memandangkan kedua-duanya mendapat jumlah undi tertinggi.

"BN bersedia menjadi pembangkang yang bertanggungjawab 'check and balance' kerajaan baharu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Screenshot 2022-11-21 230152

Tangkap layar hantaran Tok Mat di laman Facebook.

Mohamad Hasan atau lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, BN bersedia menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan kedua-dua pakatan itu ketika pasca PRU.

Namun, beliau mengingatkan supaya tidak menyalahkan BN jika kedua-duanya masih tidak dapat menubuhkan kerajaan.

"Ini hasil daripada proses yang demokratik untuk memulangkan mandat kepada rakyat. Kami hanya menghormati kepada keputusan itu," tambahnya.

Terdahulu, Istana Negara berkenaan melanjutkan tempoh pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 sehingga pukul 2 petang, Selasa.

Titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu susulan permohonan daripada ketua parti-parti politik dan gabungan parti-parti politik diterima oleh pihak Istana Negara pada Isnin.

Sebelum ini, BN memohon tempoh penyerahan surat akuan bersumpah (SD) kepada Yang di-Pertuan Agong dilanjutkan bagi membolehkan rundingan bersama gabungan lain diadakan.

Gabungan itu diketuai Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan dengan pimpinan tertinggi komponen PH termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada Isnin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram