'Saya sedia dipecat', anak Ismail Sabri dedah pendirian bapa tolak PH


  • Politik
  • Isnin, 21 Nov 2022

Ismail Sabri antara ahli Umno yang menolak kerjasama BN dan PH.

"BIAR tak berkuasa, jangan tak berprinsip," tegas Datin Nina Sabrina Ismail Sabri.

Demikian luah puteri sulung Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menyokong keputusan bapanya, yang menolak kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

Perkara itu dikongsi oleh Nina menerusi Instastory miliknya pada Isnin.

WhatsApp Image 2022-11-21 at 10.12.59 PM

Tangkap layar perkongsian Nina di Instagram.

Perkongsian sama memaparkan tangkap layar perbualan aplikasi WhatsApp, yang mana Perdana Menteri itu bersedia untuk dipecat daripada Umno berbanding melakukan kerjasama dengan PH.

"Saya sedia dipecat... tetap tidak akan bersama PH," tulis Ismail Sabri.

51629499344_freesize

Nina (kanan) menyokong perjuangan bapanya. — Instagram

Pada Isnin, beberapa pemimpin BN dan PH melakukan pertemuan di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur bagi membincangkan tentang kerjasama penubuhan kerajaan Persekutuan.

Antara yang hadir dalam pertemuan itu adalah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Naib Pengerusi BN yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, BN akan memutuskan sama ada bakal bekerjasama dengan PH atau Perikatan Nasional (PN) menerusi satu mesyuarat pada Selasa.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu lepas berakhir dengan situasi Parlimen tergantung, apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

PRU15 menyaksikan gabungan parti antaranya PH memperoleh 82 kerusi Parlimen, PN (73), manakala BN (30). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram