Elak provokasi di media sosial, muat naik kandungan gugat ketenteraman — PDRM


  • 112
  • Isnin, 21 Nov 2022

Acryl Sani ketika hari pengundian awal pada Selasa lepas.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) memberi peringatan kepada masyarakat agar tidak menimbulkan situasi atau sebarang provokasi, yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam melalui media sosial.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ini berikutan PDRM mengesan tindakan pengguna media sosial memuat naik kandungan yang menyentuh sentimen perkauman atau keagamaan dan menghina institusi diraja, susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serta pembentukan kerajaan.

"PDRM memberi peringatan dan penegasan kepada pengguna media sosial agar mengekang diri daripada menyalahgunakan platform tersebut untuk menyebar kandungan bersifat provokasi yang boleh mengakibatkan kegusaran awam.

"Tindakan tegas di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan serta Kanun Keseksaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan situasi mengancam keselamatan dan ketenteraman awam," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sabtu lepas, keputusan PRU15 menyaksikan Pakatan Harapan memperoleh 82 kerusi Parlimen diikuti Perikatan Nasional (73), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 112 kerusi, namun ketika ini berlaku situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram