Anwar calon PM tunggal jika PH-BN bergabung


  • Politik
  • Isnin, 21 Nov 2022

Anwar mengakui PH cukup selesa dari segi perolehan undi berbanding PN.

DATUK Seri Anwar Ibrahim merupakan calon Perdana Menteri tunggal, sekiranya pakatan pasca pilihan raya Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) menjadi kenyataan.

Pengerusi PH itu berkata, perkara tersebut dipersetujui ketika perbincangannya dengan BN pada Isnin.

"Buat masa ini, ya. Sudah tentu, kami membincangkan perkara ini iaitu saya sendiri sebagai calon Perdana Menteri. Mereka tidak mencadangkan nama lain dalam perbincangan itu.

"Izinkan saya untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri dahulu, sebelum mengemukakan calon Timbalan Perdana Menteri," katanya ketika sidang media di Hotel Seri Pacific di Kuala Lumpur.

Tambah Anwar, tiada perbincangan untuk campur tangan dalam kes mahkamah yang sedang dijalani oleh pemimpin BN, selain menegaskan bahawa tiada keperluan untuk masuk campur dalam urusan badan kehakiman.

Katanya lagi, pakatan pasca pilihan raya bersama BN masih belum muktamad.

"Saya rasa mereka mahu mengadakan mesyuarat lain sebelum membuat keputusan muktamad.

"Saya masih optimis kita mampu membentuk kerajaan yang lebih telus dan demokratik untuk menjaga kepentingan rakyat.

"Pada masa sama, saya cukup selesa dari segi perolehan undi berbanding Perikatan Nasional (PN). Tetapi, kami masih memerlukan sokongan daripada parti lain.

"Asas utama di sini ialah tiada kompromi dalam isu tadbir urus dengan tumpuan diberi kepada pembangunan ekonomi, sebelum kita bergerak menyelamatkan negara," ujarnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram