
KEPUTUSAN semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan sebanyak 161 daripada 220 kerusi Parlimen diumumkan rasmi, sementara 65 lagi masih tidak rasmi.
Menerusi laman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Pakatan Harapan (PH) mendahului parti-parti lain dengan secara rasmi memperoleh 56 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan 51 kerusi.
Sementara itu, Barisan Nasional (BN) memperoleh 23 kerusi, manakala Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperoleh 22 kerusi setakat pukul 1.17 pagi Ahad.
Melihat kepada keputusan itu, rata-rata rakyat di negara ini mungkin menjangkakan tiada parti mampu memperoleh jumlah kerusi mencecah 112 untuk membentuk kerajaan tanpa gabungan.
Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, pakatan yang dilihat paling kukuh ketika ini adalah PN dan PH.
Namun, beliau tidak dapat memastikan formula atau matematik mudah yang membolehkan kedua-dua pakatan membentuk kerusi.
"Dalam keadaan semasa pun, kalau kita tengok BN tak dapat kerusi yang banyak.
"Oleh itu, pakatan (BN) itu jadi minoriti dan mungkin akan bergantung kepada koalisi yang dapat kerusi paling banyak," katanya kepada Majoriti.
Mujibu — Astro Awani
Mengulas lanjut, Mujibu masih belum dapat menjangkakan parti-parti yang akan melakukan gabungan, selagi keputusan mutlak tentang PRU15 belum diumumkan.
Walaupun demikian, Mujibu berkata, mana-mana parti yang membentuk kerajaan ketika ini akan terdiri daripada parti yang memperoleh kerusi terbanyak.
"Dan kita tengok kerusi itu kalau banyak signifikan, maka parti itu boleh mencari gabungan yang paling 'less trouble'.
"Sebagai contoh, kalau kita kata kerusi PH banyak tapi margin tak besar, mungkin kurang dua atau tiga kerusi dengan PN, jadi saya rasa PN boleh bentuk kerusi dengan BN atau GRS," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram