'Undurlah, cukuplah kebinasaan ini' — Annuar Musa


  • Politik
  • Sabtu, 19 Nov 2022

Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu mahu pemimpin lebih jelas dengan hala tuju mereka selepas ini.

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan beberapa kejutan dengan nama-nama besar terpaksa akur walaupun keputusan rasmi masih belum diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Antara gabungan yang berdepan cabaran besar tahun ini ialah Barisan Nasional yang menyaksikan beberapa calon popular seperti Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Tengku Razaleigh yang gagal mempertahankan kawasan masing-masing.

Menyedari hal itu, bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mengakui bahawa beliau berasa dukacita akan prestasi serta keputusan pilihan raya kali ini.

“Akhirnya igauan buruk yang saya gambarkan selama ini dan minta dielakkan benar-benar terjadi. Dukacita teramat sangat.

"Perpecahan menjadikan kamu lemah dan hilang kekuatan. Kami anjurkan muafakat, kami dilabel tidak setia. Kami minta jangan berpecah, kami yang menerima padah," tulisnya menerusi akaun Facebook peribadinya.

Dalam masa sama, beliau turut sempat menyeru pucuk pimpinan parti agar tidak teragak-agak untuk menjelaskan hala tuju selepas PRU15.

“Kini, kemana kita nak dibawa? Mahu menjalin jajaran yang kita tolak? Mahu melanggar keputusan Perhimpunan Agung UMNO dan parti sekali lagi?

“Undurlah, cukuplah kebinasaan ini dan dengar suara rakyat serta fahami kehendak rakyat. Jangan sombong,” katanya.

Tahun ini, bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu tidak dipilih untuk bertanding dan digantikan dengan Ketua Puteri Umno Kelantan, Marzuani Ardilla Ariffin.

Bagaimanapun, mereka gagal untuk menawan kerusi itu selepas calon Perikatan Nasional (PN), Khlir Mohd Nor menang dengan majoriti besar 23,107. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram