[RASMI] Tengku Zafrul kalah tipis di Kuala Selangor


  • Politik
  • Sabtu, 19 Nov 2022

Tengku Zafrul (berbaju biru) memberikan saingan sengit kepada Dzulkefly. — Bernama

CALON Barisan Nasional, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tersungkur dalam perebutan Parlimen Kuala Selangor di tangan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dzulkefly yang juga calon Pakatan Harapan (PH) mendahului dengan majoriti 1,002 undi sekali gus membolehkan bekas Menteri Kesihatan itu mengekalkan penguasaannya di kerusi tersebut.

Tengku Zafrul yang juga Bendahari Umno Selangor memperoleh 30,031 undi, ketinggalan hanya 1,002 undi di belakang Dzulkefly (31,033 undi).

Calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Noor Mohd Sahar memperoleh 23,639 undi manakala calon Pejuang, Mohd Shaid Rosli ketinggalan dengan 1,778 undi.

Kerusi itu sebelum ini disandang oleh Dzulkefly dengan majoriti 8,498 undi.

Berdasarkan laman web SPR, pemilih berdaftar di Parlimen Kuala Selangor ialah 102,951 orang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram