BEBERAPA wakil hangat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Sarawak berjaya menepati ramalan selepas mudah menawan kerusi masing-masing.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof mudah mengumpul 54,745 undi, sekali gus mengatasi lawan terdekat, Sopian Jualihi yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti besar 41,363 di Parlimen P. 194 Petra Jaya.
Wakil PH itu hanya meraih 13,382 undi sementara seorang lagi calon bertanding, Othman Abdillah hanya mengumpul 1,036 undi.
Sementara itu, seorang lagi nama besar, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi juga mudah menawan semula kerusi P. 215 Kapit selepas meraih 12,402 majoriti.
Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berjaya mengumpul 16,522 undi berbanding pencabar terdekat yang juga calon PH, Pangkas anak Unggang yang hanya meraih 4,120 undi.
Seorang lagi calon, Robert Saweng yang bertanding di bawah tiket Parti Bangsa Dayak Sarawak mengumpul 1,357 undi.
Dalam masa sama, P. 193 Santubong menyaksikan pertembungan tiga penjuru yang diungguli seorang lagi wakil GPS, Datuk Seri Nancy Shukri dengan majoriti 38,681 undi.
Beliau mengumpul sebanyak 43,739 undi, sekali gus meninggalkan pencabar terdekat, Mohamed Zen Peli yang mewakili PH dengan hanya 5,058 undi berjaya diperolehi.
Kemenangan itu menyaksikan Nancy menduduki Parlimen tersebut buat pertama kali selepas sebelum ini mempertahankan Parlimen Batang Sadong untuk tiga penggal.
Secara keseluruhannya, GPS berjaya menawan 20 kerusi daripada 31 yang dipertandingkan sementara PH menyandang lima kerusi dan PN satu kerusi setakat pukul 12.11 tengah malam ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram